Selasa, Ogos 30, 2011

Kedatanganmu Dinanti, Pemergianmu Ditangisi (kemaskini 1 Romadhon 1434H = 10 Julai 2013)

Masukan ini telah disiarkan pada 30 Ogos 2011 jam 12:24 pagi.

Bismillah.  


Assalamu'alaikum warohmatullahi wabarokatuh.
Segala puji bagi Allah, Robb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya, para sahabatnya, tabi'in, tabi' tabi'in dan semua yang mengikuti JEJAK LANGKAH mereka hingga ke Hari Qiamat.

Salam 1 Ummah dan 1 Nusantara.
Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang mengingatkan saya untuk menulis. Ma’afkan saya kerana sudah lama tidak mengemas kini blog ini. Memang semangat membuak-buak untuk menulis ada, tapi saya perlu lebih berdisiplin untuk menulis secara istiqomah. Sememangnya Allah mencintai amal yang sedikit tapi istiqomah. Sebahagian besar isi tulisan kali ini sebenarnya telah saya dapat sebelum Bulan Romadhon, bahan ini disampaikan oleh Ustaz Norman di Masjid Lama Permatang Badak, Kuantan sebagai persediaan menyambut Bulan Romadhon dan daripada http://abidfana.com/2009/08/19/tazkirah-di-ambang-ramadhan-8/ Ma’af atas kelewatan mengongsikannya. Walaupun baru ditulis, semoga sentiasa bermanfa’at untuk saya dan sidang pembaca untuk memahami amalan puasa wajib dan puasa sunat yang akan datang. Semoga Allah memberi kita hikmah Romadhon untuk kita aplikasikan dalam bulan-bulan mendatang, insyaAllah.

Taqwa
Taqwa tidak cukup diertikan takut kepada Allah sahaja, tetapi turut mencakupi memelihara diri dari seksaan Allah dengan mengikuti segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Untuk mendapatkannya, seseorang mestilah ber’amal dengan wahyu yang diturunkan, redho dengan yang sedikit dan bersedia untuk ke hari perpindahan/ selepas mati.



[22:32] Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah[*], maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati. [*Syi'ar Allah ialah: segala amalan yang dilakukan dalam rangka ibadat haji dan tempat-tempat mengerjakannya.]

Contoh amalan taqwa
Oleh itu, contoh amalan yang menuju kepada taqwa yang biasanya disinonimkan dengan kaum Hawa adalah menutup aurat dengan sempurna termasuklah bertudung dengan sempurna dan kaum Adam adalah meninggalkan rokok.


Perisai
Puasa adalah perisai. Janganlah bercakap sesuatu yang buruk dan elakkan mengata, menyakiti, mencemuh atau mencela. Kalau kita nak puasa kita hebat, maka berdo’alah.
-Jaga lisan termasuklah meninggalkan kata-kata keji. Hadith riwayat Imam Bukhari, Abu Daud dan Turmuzi : Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (iaitu Allah tidak berhajat kepada puasanya).

Amalan Hari-hari Romadhon
1) Niat berbuat baik sepanjang hari
2) Jaga solat berjema’ah. ( Jaga semua terutamanya Solat Isya’ & Solat Subuh)
3) Baca Qur’an satu juzuk. Romadhon adalah Syahrul Qur’an (Bulan Al-Qur’an). Langkah awal untuk memahami Al-Qur’an adalah dengan kita tahu cerita apa dalam sesuatu suroh tu. Sebagai contoh, Al-Baqoroh tentang apa, Ali-Imron tentang apa dan An-Nisa’ tentang apa.
4) Jaga solat tarawih. Solat 8 roka’at yang panjang atau solat 20 roka’at yang pendek-pendek. Nas hadith memberitahu Rosulullah solat 8 roka’at dan ke atas.
5) Banyakkan zikrullah. Subhanallah, Alhamdulillah, La ila ha illallah, Allahu Akbar.
Kisah seorang lelaki yang selalu beristighfar. – Satu ketika di Zaman Kerajaan Bani Umayyah, Imam Ahmad bin Hanbal mahu berehat di sebuah masjid, tetapi dihalau oleh penjaga masjid tersebut. Imam Ahmad pun diajak oleh seorang lelaki untuk berehat di rumahnya. Imam Ahmad pun mengikut lelaki tersebut. Lelaki tersebut merupakan seorang pembuat roti. Beliau beristighfar ketika membuat roti dan Imam Ahmad mendengarnya. Imam Ahmad bertanya tentang amalannya itu dan apa yang didapati oleh lelaki tersebut dengan istighfarnya. Lelaki tersebut memberitahu bahawa Allah memaqbulkan semua do’anya kecuali satu. Do’anya yang satu itu adalah ingin berjumpa dengan Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Ahmad mengaku bahawa dirinya adalah orang dalam doanya.
(Pesanan: Siapa yang nak keberkatan dan laris dalam perniagaan, banyakkan zikir termasuk istighfar)
- Kalau kita seorang yang banyak bercakap, gantikan kepada tasbih (Subhanallah) , tahlil (La ilaha illallah), tahmid (Alhamdulillah) dan takbir (Allahu akbar). (Selingan : Menjadi seorang pendiam tak menguntungkan Islam, kalau kita seorang yang pendiam, bergaullah dengan orang yang banyak bercakap. Apabila kita dah dapat kemahiran tersebut, pegang pula maksud hadith : Bercakap yang baik atau diam)
6) Beri makan kepada orang yang berbuka. (Selingan : Ada seorang lelaki selalu datang bagi pisang kat masjid tapi dia tak datang untuk solat berjema’ah. Ustaz cuba menyiasat siapa lelaki tersebut dan berkata kepadanya, “Kami bukan kera, nak pisang awak”. Kalau tak salah, akhirnya lelaki tersebut berubah)
7) Banyakkan sedekah dan hadiah. Rosulullah paling pemurah di Bulan Romadhon.
8) Sentiasa berwudhu’. Maksud hadith Riwayat Ibnu Majah & Ibnu Hibban : (Lebih kurang maksudnya) : Dan tidaklah seseorang memelihara akan wudhu’ melainkan dia seorang mu’min. Apabila batal, ambillah yang baru. Secara mudahnya, selepas mandi, terus berwudhu’.

Pahala Puasa
Ramai orang mungkin mampu menjaga makan dan minum, tetapi boleh jadi mengabaikan aspek pahala puasa. Perkara-perkara yang membatalkan (pahala) puasa boleh dilihat di dalam himpunan hadith berikut:
لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ اْلأَكْلِ وَ الشُّرْبِ

Bukanlah (pahala) puasa itu sekadar menahan daripada makan dan minum.
[Hadith sohih riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim]

من لم يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ و الجهل فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ في أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta, dan berbuat dusta, serta amal kebodohan, maka tiadalah Allah ingin melihat pada amalannya meninggalkan makan dan minumnya.
[Hadith sohih riwayat Bukhori]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ الصِّيَامَ لَيْسَ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ فَقَطْ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغُوِ وَالرَّفَثِ فَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ أَوْ جَهِلَ عَلَيْكَ فَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya puasa itu bukan menahan daripada makan dan minum saja, hanyalah puasa yang sebenarnya ialah menahan daripada ucapan sia-sia (lagha) dan lucah/ mencarut(rafath), maka apabila seseorang mencacimu atau berbuat sesuatu yang bodoh kepadamu katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.”
[Hadith sohih riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, dan Al-Hakim]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه يقول قال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قال الله وإذا كان يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فلا يَرْفُثْ ولا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أو قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إني امْرُؤٌ صَائِمٌ

Daripada Abu Hurairah dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah berfirman: …maka apabila pada hari puasanya seseorang di antara kalian janganlah ia melakukan ucapan/ tindakan lucah/ mencarut dan janganlah dia menjerit/ berteriak, apabila seseorang mencacimu atau mengganggumu maka katakanlah: Saya sedang berpuasa….”
(Hadith riwayat Bukhori)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ لا تَسَابَّ وَأَنْتَ صَائِمٌ وَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ فَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ وَإِنْ كُنْتَ قَائِمًا فَاجْلِسْ

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata Nabi SAW bersabda: “Janganlah kamu saling mancaci (bertengkar mulut) sementara kamu sedang berpuasa maka bila seseorang mencacimu katakan:‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa’, dan kalau kamu sedang berdiri maka duduklah.” (Hadith sohih, riwayat Ibnu Khuzaimah, Nasa’i, Imam Ahmad)

Daripada antologi (himpunan) hadith di atas, bolehlah disimpulkan bahawa antara perkara yang membatalkan pahala puasa kita adalah:
a. Berbohong atau berkata dusta.
b. Membuat sesuatu yang sinonim dengan kejahilan, seperti bercakap tanpa ilmu dan seumpamanya.
c. Bercakap sesuatu yang lucah, mencarut, serangan seksual secara lisan atau ingin menaikkan syahwat orang lain.
d. Bercakap sesuatu yang sia-sia, tanpa sebab, dan tidak bermakna.
e. Meninggikan suara ketika bercakap.
f. Bertengkar.
Marilah sama-sama kita berusaha menjauhi perbuatan yang boleh membatalkan pahala puasa kita.
Kesimpulan
1.         Mari sama-sama berdoa semoga Allah memberi kekuatan untuk kita faham dan amalkan semua ilmu yang kita dapat.
2.         Jangan lupa pesan kepada kawan-kawan untuk mengingatkan : “Dah wudhu’?”
            “Dah baca Qur’an?”
3.         Semoga kita generasi kholaf (generasi kemudian) ini mengambil sikap generasi salaf (generasi awal bersama Rosulullah SAW) dengan menanamkan ruh “Romadhon, Kedatanganmu Dinanti, Pemergianmu Ditangisi”

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...