Selasa, Julai 27, 2010

Kuliah Ustaz Saiful Azhar

Majlis ilmu ini disampaikan di Masjid Unimas khususnya kepada pelajar yang baru memasuki Pusat Asasi Sains Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 25 Mei 2010. Walaupun khusus untuk mereka,  namun isinya adalah untuk umat Islam amnya. Berikut adalah antara isi-isinya.

Ilmu yang sepatutnya kita pelajari merangkumi ilmu kauniyah iaitu ilmu untuk memakmurkan dunia dan ilmu syari'ah. Pentingnya ilmu ini, dapat kita lihat daripada satu kisah lucu ini. 

Seorang lelaki (L) berjalan dan tiba-tiba dia terlanggar seorang orang kulit putih (KP) atau biasanya kita panggil mat saleh. 
L    : I'm sorry sir.       ('sir' lebih kurang macam 'se' atau 1)
KP : I'm sorry too.     ('too' lebih kurang macam 'two' atau 2)
L    : I'm sorry three.  
KP : What are you sorry for? ('for' lebih kurang macam 'four' atau 4)
L    : I'm sorry five.
Isteri KP  : I think the man is sick. ('sick' lebih kurang macam 'six' atau 6) 
L    :  I'm sorry seven.

Dalam Islam, kita dianjurkan untuk berniat apabila ingin memulakan sesuatu. Apabila kita berniat, semoga apa yang kita niatkan menjadi kenyataan. Contohnya kita berniat ketika kita memasuki tempat pengajian yang baru. Niat kita itu insyaAllah menjadi kenyataan berdasarkan satu hadith qudsi (makna daripada Allah, lafaz daripada Rosulullah), Allah berfirman yang maksudnya, 'Aku menurut sangkaan hamba-Ku'. Riwayat penuh hadith ini boleh dilihat contohnya dalam Kitab Riyadhus Solihin. Antara niat yang utama adalah niat kerana Allah untuk :
 1) a) aqol (akal)
      b) wijdan (emosi, perasaan)
      c) ilmu Islam (semakin meningkat taraf pengajian, semakin meningkat ilmu Islam)
 2) Tingkatkan kualiti ilmu

Sebagai pelajar, kita sepatutnya memiliki 2 sifat ini :
  1) Tolabu (menuntut ilmu dengan menghadiri kuliah)
  2) Tahsif (mendapatkan hasil ilmu iaitu dengan membaca dan membuat rujukan buku  
                   tambahan)

Pelajar yang mengambil kursus sarjana di Universiti Al-Azhar membaca lebih kurang 7 ke 8 jam. Paling kurang kita ada masa untuk membaca selama 3 jam sehari (kalau penulis tak salah-ini isinya)

Antara tujuan datang ke universiti :
1)Tingkatkan kualiti Islam
2) (Penulis terlepas)
3) Menguasai syari'at Islam & bidang yang diambil
    Sebagai perkongsian, satu kisah Dr Ibnu Sina diceritakan.
           Dr Ibnu Sina didatangi seorang lelaki yang kurus yang ingin membunuh diri dengan menyuruh Dr Ibnu Sina menyembelihnya. Cerita berikut saya ambil daripada http://pisangkipas.wordpress.com/2009/06/04/the-canon-of-medicine-karya-ibnu-sina-3/ sebab saya tidak berapa ingat kisahnya).
           Ibnu Sina sering menggunakan kaedah psikologi untuk merawat pesakit. Seorang pangeran (gelaran anak raja atau gelaran orang besar dalam kerajaan (keluarga diraja) dari Parsi  menderita melankolia (DBP- sifat menung hiba)(Freedictionary.com-Satu penyakit mental yang mempunyai ciri-ciri sangat tertekan, rasa bersalah, putus harapan dan mengasingkan diri-A mental disorder characterized by severe depression, guilt, hopelessness, and withdrawal) dan memiliki khayalan bahawa ia adalah sapi (lembu) minta disembelih dan tidak mahu makan apapun. Ibnu Sina dalam kes ini memberikan pesanan yang dikirimkan kepada pesakit bahawa ia bersedia dengan senang hati menjadi tukang daging yang akan datang untuk menyembelih pesakit. Saat Ibnu Sina mendekati pangeran dengan pisau di tangannya, ia bertanya kepada si pesakitnya, “Di mana sapinya sehingga aku dapat menyembelihnya.” Pesakit itu kemudian bertingkah laku seperti sapi untuk menunjukkan di mana dia berada. Kemudian Ibnu Sina berkata: “Sebelum disembelih, pesakit harus diletakkan di atas tanah untuk memudahkan penyembelihan.” Lalu si pesakit mendekati Ibnu Sina dan meletakkan dirinya di tanah seolah-olah bersedia untuk disembelih. Setelah melihat si pesakit, Ibnu Sina berkata, "Oh sapi yang terlalu kurus dan tidak siap untuk dibunuh. Dia harus diberi makan dengan benar dan saya akan menyembelihnya ketika ia sudah menjadi sihat dan gemuk.” Pesakit itu kemudian mahu makan makanan yang dihidangkan kepadanya, dan perkara itu dilakukan setiap hari hingga tubuhnya secara bertahap sihat kembali dan khayalannya hilang dengan sendirinya sehingga si pesakit menjadi sembuh sepenuhnya.

Di universiti, kita perlu mencari kawan yang soleh. 3 ciri kawan yang soleh:
1) Jaga solat
2) Ada akhlaq Islamiah, menjaga pakaian dan tutur kata
3) Lebih baik daripada kita agar kebaikannya terpantul kepada kita

- Sahsiah dibina daripada kehidupan

-''Ustaz, kami dulu kat sekolah dah kawan dengan lelaki, sekarang kami nak kawan dengan perempuan la pulak". 
   (Tambahan penulis : Salah satu alasan lucu untuk menghalalkan hubungan yang melanggar batas agama.)

-Bersama pelajar berlainan jantina disebabkan daruroh syar'iyyah dan kumpulan yang ditetapkan oleh pensyarah adalah dibenarkan.

-Salah satu ciri yang merosakkan fitroh adalah melakukan ma'siat.

-Allah SWT beri keberkatan ilmu kepada orang yang ta'at kepada-Nya

-Satu kisah perkongsian berkenaan Sheikh Abdul Qadir Jailani (SAQJ) tentang kisahnya mempertahankan maruah dirinya sebagai seorang penuntut ilmu. Dalam sebuah kapal, SAQJ menceritakan kepada lelaki di sebelahnya (L).

SAQJ : Nak tahu tak, saya ada wang (10, 000 ribu dinar ~ RM 4 juta)
L        : Betul ke ?
SAQJ : Betul.

Tak lama lepas tu, lelaki itu menjerit mengatakan bahawa ada orang telah mencuri duitnya. (Kaedah/ taktik nak dapat duit SAQJ). Apabila orang di atas kapal memeriksanya, tidak ada duitpun pada SAQJ.

L         : Tadi, kamu cakap kamu ada 10, 000. Tiada pun.
SAQJ  : Saya telah buang ke laut. Selama 20 tahun saya jaga maruah saya, tapi kamu senang-senang nak rosakkan.

* Kalau penulis tak salah.

- Duduk di universiti, perlu ada taqwa
- Jaga maruah diri & Islam
- Nilai kebahagiaan Allah Ta'ala letakkan pada hati
     Kisah tentang kebahagiaan :
         Seorang yang kaya yang tiada anak melihat orang miskin bawa basikal dan membawa anaknya. 
         Berkata si kaya : Alangkah bahagianya ada anak.
         Orang miskin pula berkata dalam hatinya : Alangkah bahagianya ada kereta.    
    (Tambahan penulis : Mencari pasangan hidup sebelum nikah dengan tidak berlandaskan syari'at, tidaklah          
     menjamin kebahagiaan kita. Kebahagiaan milik Allah, bukan milik manusia.)

- Niat belajar kerana Allah
(Tambahan penulis : Selepas niat kerana Allah, niatkan demi kepentingan Islam dan umat Islam.)

- Taqorrub kepada Allah. Pelajar yang berjaya biasanya pelajar yang menjaga hubungannya dengan Allah.     
    (Tambahan penulis : Contohnya, jaga amalan qiamullail)

Selasa, Julai 20, 2010

Sejarah Menghafaz Sebahagian Al-Qur'an

Disebabkan ada ikhwah (Akh MDS) yang bertanya tentang bila saya menghafal sebahagian Al-Qur'an, jadi saya kongsikan tentang sejarah saya ini.

Menghafal suroh-suroh lazim tentunya biasa kita lakukan di sekolah rendah dan sekolah menengah. Namun, apa yang menarik perhatian masyarakat pada umumnya adalah apabila seseorang mampu untuk menghafal suroh-suroh lazim yang panjang. Sebagai contoh, Suroh Ya Sin, Suroh Sajdah dan suroh-suroh panjang dalam Juzu' 'Amma/ Juzu' 30.

Dalam pertandingan hafazan peringkat sekolah semasa saya di Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Sains Sultan Hj Ahmad Shah (SEMSAS), Kuantan, 7 suroh yang mesti dihafal adalah Suroh Sajdah (suroh ke-32), Suroh Ya Sin (suroh ke-36), Suroh al-Waqi'ah (suroh ke-56), Suroh al-Jumu'ah (Suroh ke-62), Suroh al-Mulk (suroh ke-67), Suroh Nuh (suroh ke-71) dan Suroh al-Insan (suroh ke-76). Akibat daripada saya tidak menghafal semua suroh yang disuruh, jadi saya tidak memenangi tempat pertama dalam peringkat sekolah sendiri. Oleh yang demikian, saya tidak dapat mewakili sekolah ke pertandingan hafazan peringkat daerah. Selepas saya terlepas peluang untuk mewakili sekolah ini, saya menanamkan tekad untuk menghafal kesemua suroh ini walaupun saya tidak dapat menjadi wakil sekolah. Alhamdulillah, setelah berusaha, Allah memberikan saya kekuatan hafalan dan saya berjaya menghafal kesemua 7 suroh itu. Setelah itu, saya juga turut meminati Suroh ar-Rohman yang mempunyai pengulangan ayat yang tidak ada pengulangannya di dalam satu suroh yang sama sebanyak itu iaitu sebanyak 31 kali dan suroh ini kerap kali dibaca oleh imam semasa saya di sekolah menengah yang sama. Oleh yang demikian, alhamdulillah suroh ini juga pernah saya hafal. Suroh ar-Rohman ini saya tidak pasti bilakah saya menghafalnya samada semasa menghafal 7 suroh tadi atau semasa tempoh antara SPM dan universiti.

Menurut satu ceramah ustaz semasa saya berada di sekolah tersebut, suroh yang bagus untuk dihafal adalah Suroh ad-Dukhon (suroh yang ke-44). Alhamdulillah, suroh ini juga pernah saya hafal. Menurut satu hadith yang saya baca dalam Fadhilat Amal (dalam bab Fadhilat Qur'an berkenaan dengan suroh ini, mengenai soalan yang ditanya oleh Sayyidina Ali (karromallahu wajhah), mengenai bagaimana menguatkan ingatan. Rosulullah menjawab agar pada roka'at pertama selepas al-Fatihah, hendaklah dibaca Suroh Ya Sin (suroh ke-36), pada roka'at kedua selepas al-Fatihah, hendaklah dibaca Suroh ad-Dukhon (suroh ke-44), pada roka'at ketiga selepas al-Fatihah, hendaklah dibaca Suroh Sajdah (suroh ke-32) dan pada roka'at keempat selepas al-Fatihah, bacalah Suroh al-Mulk (suroh ke-67). Saya ada bertanya kepada seorang ustaz baru-baru ini berkaitan solat ini. Solat ini hendaklah dilaksanakan dalam bilangan dua roka'at, diikuti dua roka'at yang lain.

Setelah suroh-suroh tadi siap dihafal, saya kurang pasti samada diilhamkan oleh Allah atau saya bertanya kepada sahabat (kalau tak salah, di Kolej Matrikulasi Pahang) atau ahli agama (ustaz/ ustazah) tentang suroh yang patut saya hafal selepas siap menghafal 7 suroh itu. Saya dianjurkan menghafal Juzu' 30, Juz 29, Suroh Sof (suroh ke-61) dan Suroh al-Jin (suroh ke-72). Alhamdulillah saya berjaya menghafal Juz 'Amma antara tahun 2003 hingga 2007, sebelum masuk ke Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada Julai 2007.

Semasa penempatan ke Hospital Serian semasa Tahun 1 (Program Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dengan Kepujian), sekitar Mei ke Jun 2008, saya berusaha pula menghafal Juzu' 29. Alhamdulillah, saya hanya bersemangat menghafal suroh ke-68, iaitu Suroh al-Qolam dalam juzu' tersebut.

Apa yang penting setelah menghafal adalah mengulang kembali suroh-suroh tadi agar kekal dalam ingatan. Tidaklah sampai haram hukumnya kerana melupakan hafalan Al-Qur'an kerana fahaman sedemikian akan menyebabkan umat Islam takut untuk menghafal Al-Qur'an.

Sengaja ingin saya kongsikan maklumat daripada seorang ustaz, bahawa pelajar asing (contohnya pelajar Malaysia) di Universiti al-Azhar dikehendaki menghafal 2 juzu' al-Qur'an setiap tahun pengajian, manakala pelajar Arab dikehendaki menghafal keseluruhan al-Qur'an sepanjang pengajian. Seorang kenalan saya iaitu pelajar Perubatan di Unimas pula memberitahu bahawa rakannya yang belajar di tanah Arab yang turut mengambil kursus Perubatan di sana, terpaksa mengulang kerana kurang bersungguh untuk menghafal al-Qur'an. Ingin juga saya kongsikan di sini bahawa usaha menyuruh umat Islam menghafal al-Qur'an adalah untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam sepertimana tercatat dalam sejarah umat manusia.

Saya juga turut sedih kerana kini saya kurang bersemangat untuk menghafal al-Qur'an. Semoga Allah terus melimpahkan rahmat-Nya agar saya, sekalian pembaca blog ini dan seluruh umat Islam terus bersemangat  untuk menghafal Al-Qur'an selain daripada membaca, memahami (mentadabbur) dan meng'amalkan isi Al-Qur'an. Memelihara al-Qur'an dari sudut lidah adalah membacanya sebagaimana diturunkan dan yang lebih penting adalah memelihara al-Qur'an dari sudut amalan iaitu mengamalkan isinya zohir & batin. Semoga kita juga turut menjadi salah seorang yang memelihara al-Qur'an dari sudut hafalan sepertimana firman Allah dalam suroh al-Hijr (15:9) bahawa "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran,  dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya." (Jaminan kesucian & kemurnian al-Qur'an selama-lamanya)






Khamis, Julai 15, 2010

Perkara Penting dalam Memenuhi Undangan Walimatul Urus





Mengulas tentang isu khutbah Juma'at yang tidak menarik perhatian jema'ah yang hadir, akhbar tempatan pernah menyiarkan rencana berkaitan khutbah Juma'at yang sepatutnya ditambah baik mutunya. Hal ini kerana isinya kadang kala tidak menarik perhatian jema'ah sehingga menyebabkan bilangan ahli jema'ah yg pejam mampu mengatasi bilangan ahli jema'ah yang celik.
Ustaz Hamidi (Kg Mahkota, Bt 12, Kuantan) pernah menekankan tentang maksud khutbah iaitu pidato atau syarahan. Khutbah sepatutnya berisi dengan ilmu.
Dalam satu khutbah Juma'at (18 Jun 2010) di Masjid Kg. Mahkota, ustaz tersebut menceritakan perihal majlis kenduri perkahwinan pada hari ini. Berikut adalah antara isi-isinya.
Imam Zarkasyi menyatakan 'Hampir tidak ada majlis (kenduri kahwin) yang wajib dihadiri pada hari ini.' Dalam Bahasa Arab, majlis kenduri kahwin disebut sebagai Majlis Meraikan Persetubuhan (Walimah ad-Dukhl) tetapi kesopanan masyarakat Islam Melayu menamakannya sebagai Majlis Perkahwinan.

1) Doakan Tuan Rumah & Pasangan Pengantin

Seorang tuan rumah yang mengadakan majlis ini hendaklah bergembira menyambut tetamu yang datang. Tuan rumah hendaklah bersyukur atas banyaknya bilangan hadirin. Hal ini kerana Allah menghapuskan dosa bagi orang yang meraikan tetamunya.
Bagi hadirin pula, mereka sepatutnya melaksanakan 2 perkara berikut:

  1. Mendoakan tuan rumah
  2. Mendoakan kedua-dua pengantin
Apakah isi doa yang sepatutnya mereka sebutkan? Adakah 'Congrats!' atau 'Tahniah'? Kalaupun ungkapan tadi disebut, janganlah hendaknya hadirin terlupa mendoakan keberkatan buat tuan rumah & kedua-dua pengantin. Sebagai contoh doa untuk pengantin, 'Semoga Allah memberkati hidup kamu berdua'. 

Hal ini dijelaskan sekali lagi dalam sesi kuliah ustaz tersebut di surau taman yang  berdekatan dengan masjid tersebut. Ustaz tersebut menambahkan satu hadith daripada Nabi SAW, 'Makanan yang baik dimakan oleh orang yang baik'. Apabila diteliti hadith ini, sepatutnya apabila mengadakan sesuatu majlis, jemputlah orang yang baik (ustaz/orang yang selalu ke masjid & surau). Bukanlah untuk mengagungkan orang seperti ini, tetapi mereka yang ke masjid & surau diharap menjadi orang yang turut sama mengucapkan doa untuk tuan rumah & pasangan pengantin. Apabila difikirkan, daripada 100 orang jemputan, berapa ramaikah yang berdoa dengan doa di atas?

2) Kawal Kekuatan Bunyi Muzik 

Majlis aqad yang dilaksanakan sewajarnya mendapat penghormatan yang sewajarnya sebagaimana majlis penerimaan watikah perlantikan atau darjah kebesaran. Muzik sebaiknya diperlahankan dan lagi baik jika ditutup demi menghormati majlis menerima amanah daripada Allah SWT. Hadirin sepatutnya tidak bising sewaktu aqad dijalankan. Sebelum dan selepas daripada majlis aqad, muzik nasyid (lagu berunsurkan Islam) & zikir boleh dipasang dalam kadar yang perlahan. Muzik yang kuat amatlah mengganggu bagi hadirin yang mahu berbual-bual terutamanya bagi golongan yang mempunyai masalah pendengaran dan yang telah lama tidak berjumpa. 

3) Lafaz Ta'lid Bagi Pengantin Lelaki

Lafaz ini menjadi benteng untuk memelihara pengantin perempuan daripada penganiayaan. Sebagai contoh, lafaznya, "Kalau saya meninggalkan isteri 4 bulan berturut-turut secara sengaja atau paksaan, atau saya memudaratkannya,.., maka  jatuhlah tholaq (talak) secara khul'i".

Ketiga-tiga perkara di atas adalah amat penting kalau dilihat dari sudut ilmu & amalan sebagai seorang Muslim yang ingin melalui liku-liku perjalanan menuju gerbang perkahwinan. Antara kitab yang biasa ditela'ah di masjid & surau untuk mengetahui selok-belok & hukum-hakam dalam dunia perkahwinan Muslim adalah Kitab Muhimmah. Semoga kita terus berdoa agar sentiasa ditambahkan ilmu yang bermanfa'at & sentiasa berusaha menambah ilmu di dada.

Muqoddimah (Pendahuluan)

Menulis blog dalam mencari redho Allah
Alhamdulillah, dalam kesibukan mengejar ukhrowi (akhirat) & duniawi, Allah melapangkan saya untuk melancarkan  blog ini. Perkataan 'mumarridh' ialah jururawat atau jururawat lelaki. Al-Pakiti pula diambil daripada tempat sewaktu saya masih berada di dalam kandungan ibu saya iaitu di Kem Pakit, Sri Aman, Sarawak.

Menurut Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), blog ialah tapak web yang membolehkan pengguna menulis dan menyimpan diari atau jurnal secara elektronik. Tapi, pada pendapat saya, selain diari & jurnal, banyak lagi perkara yang boleh dikongsikan.

Menulis blog bukan sahaja boleh mengasah malah turut menajamkan kemahiran penulisan kepada golongan lepasan sekolah yang tidak lagi menulis karangan dalam Bahasa Melayu. Blog ini juga boleh menjadi tempat berkongsi pengalaman & ilmu agar menjadi iktibar buat mengingatkan diri sendiri & orang lain. Menulis blog mestilah diniatkan untuk meraih redho Allah, barulah blog tersebut tidak lari daripada penulisan yang sia-sia seperti difirmankan Allah dalam Suroh Al-Mukminun berkenaan ciri-ciri orang yang beriman iaitu "Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia" (23:3). Setiap perkataan dan perbuatan yang kita lakukan atau tinggalkan samada baik atau buruk boleh memberi kesan kepada orang lain (dengan izin Allah) dan jika mereka mengikutinya, maka kita akan turut mendapat balasannya tanpa mengurangi balasan terhadap orang yang meniru perbuatan kita seperti yang difirmankan Allah dalam Suroh Ya Sin, "Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata." (36:12).

Ilham untuk menulis blog ini datang daripada galakan beberapa kali daripada Dr H, permintaan ikhwah untuk mengetahui sejarah penghafalan Al-Qur'an dalam hidup saya dan pertanyaan rakan sekelas dalam program Kejururawatan semasa di Tahun 3. Keinginan yang membuak-buak dalam diri saya untuk berkongsi suka duka, pengalaman hidup, pemikiran (fikroh) dan ilmu turut menyumbang ke arah kewujudan blog ini. Moga blog boleh juga mengingatkan saya kepada apa yang berlaku kepada saya sewaktu saya telah tua atau lupa .

Kepada para pembaca blog ini, janganlah segan untuk menegur saya di ruang Bicara Umat, sistem pesanan ringkas (SMS), e-mel, ulasan (comment) atau melalui apa jua cara yang sesuai secara berhikmah jika terdapat sebarang kelemahan dan kekurangan dalam blog ini. Selamat membaca dengan nama Allah dan semoga beroleh manfa'at daripada blog ini. Semoga blog ini menjadi salah satu 'ibadah & amal soleh di sisi Allah SWT.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...