Khamis, Julai 15, 2010

Perkara Penting dalam Memenuhi Undangan Walimatul Urus





Mengulas tentang isu khutbah Juma'at yang tidak menarik perhatian jema'ah yang hadir, akhbar tempatan pernah menyiarkan rencana berkaitan khutbah Juma'at yang sepatutnya ditambah baik mutunya. Hal ini kerana isinya kadang kala tidak menarik perhatian jema'ah sehingga menyebabkan bilangan ahli jema'ah yg pejam mampu mengatasi bilangan ahli jema'ah yang celik.
Ustaz Hamidi (Kg Mahkota, Bt 12, Kuantan) pernah menekankan tentang maksud khutbah iaitu pidato atau syarahan. Khutbah sepatutnya berisi dengan ilmu.
Dalam satu khutbah Juma'at (18 Jun 2010) di Masjid Kg. Mahkota, ustaz tersebut menceritakan perihal majlis kenduri perkahwinan pada hari ini. Berikut adalah antara isi-isinya.
Imam Zarkasyi menyatakan 'Hampir tidak ada majlis (kenduri kahwin) yang wajib dihadiri pada hari ini.' Dalam Bahasa Arab, majlis kenduri kahwin disebut sebagai Majlis Meraikan Persetubuhan (Walimah ad-Dukhl) tetapi kesopanan masyarakat Islam Melayu menamakannya sebagai Majlis Perkahwinan.

1) Doakan Tuan Rumah & Pasangan Pengantin

Seorang tuan rumah yang mengadakan majlis ini hendaklah bergembira menyambut tetamu yang datang. Tuan rumah hendaklah bersyukur atas banyaknya bilangan hadirin. Hal ini kerana Allah menghapuskan dosa bagi orang yang meraikan tetamunya.
Bagi hadirin pula, mereka sepatutnya melaksanakan 2 perkara berikut:

  1. Mendoakan tuan rumah
  2. Mendoakan kedua-dua pengantin
Apakah isi doa yang sepatutnya mereka sebutkan? Adakah 'Congrats!' atau 'Tahniah'? Kalaupun ungkapan tadi disebut, janganlah hendaknya hadirin terlupa mendoakan keberkatan buat tuan rumah & kedua-dua pengantin. Sebagai contoh doa untuk pengantin, 'Semoga Allah memberkati hidup kamu berdua'. 

Hal ini dijelaskan sekali lagi dalam sesi kuliah ustaz tersebut di surau taman yang  berdekatan dengan masjid tersebut. Ustaz tersebut menambahkan satu hadith daripada Nabi SAW, 'Makanan yang baik dimakan oleh orang yang baik'. Apabila diteliti hadith ini, sepatutnya apabila mengadakan sesuatu majlis, jemputlah orang yang baik (ustaz/orang yang selalu ke masjid & surau). Bukanlah untuk mengagungkan orang seperti ini, tetapi mereka yang ke masjid & surau diharap menjadi orang yang turut sama mengucapkan doa untuk tuan rumah & pasangan pengantin. Apabila difikirkan, daripada 100 orang jemputan, berapa ramaikah yang berdoa dengan doa di atas?

2) Kawal Kekuatan Bunyi Muzik 

Majlis aqad yang dilaksanakan sewajarnya mendapat penghormatan yang sewajarnya sebagaimana majlis penerimaan watikah perlantikan atau darjah kebesaran. Muzik sebaiknya diperlahankan dan lagi baik jika ditutup demi menghormati majlis menerima amanah daripada Allah SWT. Hadirin sepatutnya tidak bising sewaktu aqad dijalankan. Sebelum dan selepas daripada majlis aqad, muzik nasyid (lagu berunsurkan Islam) & zikir boleh dipasang dalam kadar yang perlahan. Muzik yang kuat amatlah mengganggu bagi hadirin yang mahu berbual-bual terutamanya bagi golongan yang mempunyai masalah pendengaran dan yang telah lama tidak berjumpa. 

3) Lafaz Ta'lid Bagi Pengantin Lelaki

Lafaz ini menjadi benteng untuk memelihara pengantin perempuan daripada penganiayaan. Sebagai contoh, lafaznya, "Kalau saya meninggalkan isteri 4 bulan berturut-turut secara sengaja atau paksaan, atau saya memudaratkannya,.., maka  jatuhlah tholaq (talak) secara khul'i".

Ketiga-tiga perkara di atas adalah amat penting kalau dilihat dari sudut ilmu & amalan sebagai seorang Muslim yang ingin melalui liku-liku perjalanan menuju gerbang perkahwinan. Antara kitab yang biasa ditela'ah di masjid & surau untuk mengetahui selok-belok & hukum-hakam dalam dunia perkahwinan Muslim adalah Kitab Muhimmah. Semoga kita terus berdoa agar sentiasa ditambahkan ilmu yang bermanfa'at & sentiasa berusaha menambah ilmu di dada.

1 ulasan:

hisyam berkata...

wah! akhi. dah makin rancak mengepost. :) tahniah, dan teruskan menyebar kebaikan melalui alam maya nih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...