Khamis, Julai 15, 2010

Muqoddimah (Pendahuluan)

Menulis blog dalam mencari redho Allah
Alhamdulillah, dalam kesibukan mengejar ukhrowi (akhirat) & duniawi, Allah melapangkan saya untuk melancarkan  blog ini. Perkataan 'mumarridh' ialah jururawat atau jururawat lelaki. Al-Pakiti pula diambil daripada tempat sewaktu saya masih berada di dalam kandungan ibu saya iaitu di Kem Pakit, Sri Aman, Sarawak.

Menurut Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), blog ialah tapak web yang membolehkan pengguna menulis dan menyimpan diari atau jurnal secara elektronik. Tapi, pada pendapat saya, selain diari & jurnal, banyak lagi perkara yang boleh dikongsikan.

Menulis blog bukan sahaja boleh mengasah malah turut menajamkan kemahiran penulisan kepada golongan lepasan sekolah yang tidak lagi menulis karangan dalam Bahasa Melayu. Blog ini juga boleh menjadi tempat berkongsi pengalaman & ilmu agar menjadi iktibar buat mengingatkan diri sendiri & orang lain. Menulis blog mestilah diniatkan untuk meraih redho Allah, barulah blog tersebut tidak lari daripada penulisan yang sia-sia seperti difirmankan Allah dalam Suroh Al-Mukminun berkenaan ciri-ciri orang yang beriman iaitu "Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia" (23:3). Setiap perkataan dan perbuatan yang kita lakukan atau tinggalkan samada baik atau buruk boleh memberi kesan kepada orang lain (dengan izin Allah) dan jika mereka mengikutinya, maka kita akan turut mendapat balasannya tanpa mengurangi balasan terhadap orang yang meniru perbuatan kita seperti yang difirmankan Allah dalam Suroh Ya Sin, "Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata." (36:12).

Ilham untuk menulis blog ini datang daripada galakan beberapa kali daripada Dr H, permintaan ikhwah untuk mengetahui sejarah penghafalan Al-Qur'an dalam hidup saya dan pertanyaan rakan sekelas dalam program Kejururawatan semasa di Tahun 3. Keinginan yang membuak-buak dalam diri saya untuk berkongsi suka duka, pengalaman hidup, pemikiran (fikroh) dan ilmu turut menyumbang ke arah kewujudan blog ini. Moga blog boleh juga mengingatkan saya kepada apa yang berlaku kepada saya sewaktu saya telah tua atau lupa .

Kepada para pembaca blog ini, janganlah segan untuk menegur saya di ruang Bicara Umat, sistem pesanan ringkas (SMS), e-mel, ulasan (comment) atau melalui apa jua cara yang sesuai secara berhikmah jika terdapat sebarang kelemahan dan kekurangan dalam blog ini. Selamat membaca dengan nama Allah dan semoga beroleh manfa'at daripada blog ini. Semoga blog ini menjadi salah satu 'ibadah & amal soleh di sisi Allah SWT.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...