Selasa, Julai 20, 2010

Sejarah Menghafaz Sebahagian Al-Qur'an

Disebabkan ada ikhwah (Akh MDS) yang bertanya tentang bila saya menghafal sebahagian Al-Qur'an, jadi saya kongsikan tentang sejarah saya ini.

Menghafal suroh-suroh lazim tentunya biasa kita lakukan di sekolah rendah dan sekolah menengah. Namun, apa yang menarik perhatian masyarakat pada umumnya adalah apabila seseorang mampu untuk menghafal suroh-suroh lazim yang panjang. Sebagai contoh, Suroh Ya Sin, Suroh Sajdah dan suroh-suroh panjang dalam Juzu' 'Amma/ Juzu' 30.

Dalam pertandingan hafazan peringkat sekolah semasa saya di Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Sains Sultan Hj Ahmad Shah (SEMSAS), Kuantan, 7 suroh yang mesti dihafal adalah Suroh Sajdah (suroh ke-32), Suroh Ya Sin (suroh ke-36), Suroh al-Waqi'ah (suroh ke-56), Suroh al-Jumu'ah (Suroh ke-62), Suroh al-Mulk (suroh ke-67), Suroh Nuh (suroh ke-71) dan Suroh al-Insan (suroh ke-76). Akibat daripada saya tidak menghafal semua suroh yang disuruh, jadi saya tidak memenangi tempat pertama dalam peringkat sekolah sendiri. Oleh yang demikian, saya tidak dapat mewakili sekolah ke pertandingan hafazan peringkat daerah. Selepas saya terlepas peluang untuk mewakili sekolah ini, saya menanamkan tekad untuk menghafal kesemua suroh ini walaupun saya tidak dapat menjadi wakil sekolah. Alhamdulillah, setelah berusaha, Allah memberikan saya kekuatan hafalan dan saya berjaya menghafal kesemua 7 suroh itu. Setelah itu, saya juga turut meminati Suroh ar-Rohman yang mempunyai pengulangan ayat yang tidak ada pengulangannya di dalam satu suroh yang sama sebanyak itu iaitu sebanyak 31 kali dan suroh ini kerap kali dibaca oleh imam semasa saya di sekolah menengah yang sama. Oleh yang demikian, alhamdulillah suroh ini juga pernah saya hafal. Suroh ar-Rohman ini saya tidak pasti bilakah saya menghafalnya samada semasa menghafal 7 suroh tadi atau semasa tempoh antara SPM dan universiti.

Menurut satu ceramah ustaz semasa saya berada di sekolah tersebut, suroh yang bagus untuk dihafal adalah Suroh ad-Dukhon (suroh yang ke-44). Alhamdulillah, suroh ini juga pernah saya hafal. Menurut satu hadith yang saya baca dalam Fadhilat Amal (dalam bab Fadhilat Qur'an berkenaan dengan suroh ini, mengenai soalan yang ditanya oleh Sayyidina Ali (karromallahu wajhah), mengenai bagaimana menguatkan ingatan. Rosulullah menjawab agar pada roka'at pertama selepas al-Fatihah, hendaklah dibaca Suroh Ya Sin (suroh ke-36), pada roka'at kedua selepas al-Fatihah, hendaklah dibaca Suroh ad-Dukhon (suroh ke-44), pada roka'at ketiga selepas al-Fatihah, hendaklah dibaca Suroh Sajdah (suroh ke-32) dan pada roka'at keempat selepas al-Fatihah, bacalah Suroh al-Mulk (suroh ke-67). Saya ada bertanya kepada seorang ustaz baru-baru ini berkaitan solat ini. Solat ini hendaklah dilaksanakan dalam bilangan dua roka'at, diikuti dua roka'at yang lain.

Setelah suroh-suroh tadi siap dihafal, saya kurang pasti samada diilhamkan oleh Allah atau saya bertanya kepada sahabat (kalau tak salah, di Kolej Matrikulasi Pahang) atau ahli agama (ustaz/ ustazah) tentang suroh yang patut saya hafal selepas siap menghafal 7 suroh itu. Saya dianjurkan menghafal Juzu' 30, Juz 29, Suroh Sof (suroh ke-61) dan Suroh al-Jin (suroh ke-72). Alhamdulillah saya berjaya menghafal Juz 'Amma antara tahun 2003 hingga 2007, sebelum masuk ke Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada Julai 2007.

Semasa penempatan ke Hospital Serian semasa Tahun 1 (Program Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dengan Kepujian), sekitar Mei ke Jun 2008, saya berusaha pula menghafal Juzu' 29. Alhamdulillah, saya hanya bersemangat menghafal suroh ke-68, iaitu Suroh al-Qolam dalam juzu' tersebut.

Apa yang penting setelah menghafal adalah mengulang kembali suroh-suroh tadi agar kekal dalam ingatan. Tidaklah sampai haram hukumnya kerana melupakan hafalan Al-Qur'an kerana fahaman sedemikian akan menyebabkan umat Islam takut untuk menghafal Al-Qur'an.

Sengaja ingin saya kongsikan maklumat daripada seorang ustaz, bahawa pelajar asing (contohnya pelajar Malaysia) di Universiti al-Azhar dikehendaki menghafal 2 juzu' al-Qur'an setiap tahun pengajian, manakala pelajar Arab dikehendaki menghafal keseluruhan al-Qur'an sepanjang pengajian. Seorang kenalan saya iaitu pelajar Perubatan di Unimas pula memberitahu bahawa rakannya yang belajar di tanah Arab yang turut mengambil kursus Perubatan di sana, terpaksa mengulang kerana kurang bersungguh untuk menghafal al-Qur'an. Ingin juga saya kongsikan di sini bahawa usaha menyuruh umat Islam menghafal al-Qur'an adalah untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam sepertimana tercatat dalam sejarah umat manusia.

Saya juga turut sedih kerana kini saya kurang bersemangat untuk menghafal al-Qur'an. Semoga Allah terus melimpahkan rahmat-Nya agar saya, sekalian pembaca blog ini dan seluruh umat Islam terus bersemangat  untuk menghafal Al-Qur'an selain daripada membaca, memahami (mentadabbur) dan meng'amalkan isi Al-Qur'an. Memelihara al-Qur'an dari sudut lidah adalah membacanya sebagaimana diturunkan dan yang lebih penting adalah memelihara al-Qur'an dari sudut amalan iaitu mengamalkan isinya zohir & batin. Semoga kita juga turut menjadi salah seorang yang memelihara al-Qur'an dari sudut hafalan sepertimana firman Allah dalam suroh al-Hijr (15:9) bahawa "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran,  dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya." (Jaminan kesucian & kemurnian al-Qur'an selama-lamanya)






Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...