LAGU 1
Belia itu hilang pedoman
Hilang hala tuju perjuangan
Hilang perhatian masa kini, masa depan
Hilang pertimbangan kenegaraan
Hilang sifat Muslim dan adat ketimuran
Berkiblatkan barat dalam peribadi, pertuturan, perlakuan
Belia dulu di sawah, di lautan
Belia kini di pusat maksiat dan hiburan
Belia dulu membangun negara mengangkat agama
Belia kini larut kemelut mengetepi pelukannya
Mentafsir menodai kemuliaan anutannya
Wahai belia, benarkah agama itu semuanya sama?
Remaja selesa merosak diri
Tiada budi bahasa tiada budi pekerti
Muflis lambang bangsa sendiri
Bangsa dan raja ditolak ke tepi
Hilang hormat dan adab terhadap tradisi
Hilang malu, dedah sana sini
Asyik berhibur dan alpa tiap hari
Jiwa kebendaan, telefon berganti-ganti
Bermain, bersosial di komputer seorang diri
Ketagih rokok, dadah, arak, zina, jenayah, gengster, rempit dan judi
Hanya tahu memuas nafsu sendiri
Lelaki jadi perempuan, perempuan jadi lelaki
Oh, inikah remaja harapan masa kini?
LAGU 2
Agama dibincang sesuka hatimu
Bukan tujuan mendidik, menambah ilmu
Mereka yang ahli tidak kautemu
Suka berpecah bukan menyatu
Gadai prinsip, jual agama kerana dunia sementara itu
Basah lidah menyebut Tuhanmu
Gerak badan tersusun selalu
Adakah hatimu turut bersatu?
Kahwin atas nama cinta
Kurang ilmu mendidik, rendah ilmu hukum di dada
Atau di sana ada matlamat mulia
Membangun generasi manfaat untuk semua
Ibu bapa tiada tauladan suri
Lalu media cetak, media elektronik ganti mendidik mengisi
Bercampurlah baik dan keji
Walau bercanggah pelajaran Islami
Guru tidak mendidik jiwa dan hati
Membilang cemerlang periksa di kemudian hari
Suasana negatif masyarakat memberi
Hanya mengurus rumah sendiri
Kainku biar kujagai
Kainmu jagalah sendiri
LAGU 3
Wahai orang muda zaman ini
Bukalah dada, celiklah minda, cucilah hati
Jalinlah hubungan baik, usah meninggi diri
Jagalah nafsu nafsi
Punya kesungguhan diri
Punya cita-cita tersendiri
Membangun tamadun bangsa, agama dan negara ini
Gilaplah potensi mulai hari ini
Pijaklah kukuh sejarah gemilang bangsa ini
Warisilah jenis pimpinan dan terus membaiki
Itulah orang muda dicari kini
Mari bangkit generasi harapan beragenda
Milikilah sahsiah mulia
Mempengaruhi di mana-mana
Menjadi ikan, tidak masin dalam samudera
Dijunjung agama, dikelek dunia
Ambillah hakikat dan syariat semuanya
Tarikat dan makrifat diadun bersama
Jangan akal dan nafsu yang mendewa
Kejarlah akhirat, dunia pasti ikut serta
Ingat, bahagianmu di dunia turut ada
Musuh Allah merancang penuh teliti
Merosak harga diri, memusnah jati diri
Berbangga kita dengan akta dan enakmen lalu bergoyang kaki
Menonton cerita dan berita sambil menjaga periuk nasi sendiri
Menunggu tanah dan dominasi hilang di sisi
Usah menunggu lagi
Selesaikan masalah, bentenglah ummah dan diri
Jadilah penyeru kepada Ilahi.
1.44 tengah hari,
18 Februari 2012,
Universiti Islam Antarabangasa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan,
sempena Seminar Kecelaruan Identiti Belia: Di mana Penyelesaiannya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan