Khamis, Disember 09, 2010

Fadhilat Bang (Azan)

Kitab : Al-Jauhar Al-Mauhub Wa Minbihatil Qulub (Kalau tak salah baris), 
29 November 2010, Isnin, Masjid Batu 12, Ustaz Asri dari Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh)

Bab: Fadhilat Bang (Azan)
(Ditukar ke tulisan rumi dengan sedikit pengubahsuaian ejaan dan susunan agar pembaca mudah faham, kesalahan tatabahasa tidak dibaiki untuk memperlihatkan gaya Bahasa Melayu lama)
(Penerangan ustaz dalam italic) (Tulisan yang ditebalkan mungkin boleh diabaikan sebelum kepastian daripada ustaz)

Bab yang kedua lapan pada menyatakan kelebihan bang.
Sabda Nabi SAW : Barangsiapa yang bang sembahyang 7 tahun padahal mengira-ngirakan pahalanya pada Allah, tiada mengambil upah, nescaya disurat Allah Ta’ala baginya kelepasan daripada api neraka (Pada satu riwayat) : Diharamkan Allah dagingnya dan tubuhnya atas binatang yang melata pada bumi daripada memakan akan dia di dalam quburnya
(Dan bertanya seorang akan Rosulullah SAW sembahnya Ya Rosulullah, khabarkan olehmu akan daku dengan ‘amal yang memasukkan daku dengan dia akan syurga Sabdanya  Jadikan diri kamu tukang bang bagi kaum kamu, berhimpun mereka itu sembahyang dengan kamu Sembahnya Maka jika tiada kuasa? Sabdanya Jadikan dirimu imam bagi kaum kamu sembahyang mereka itu dengan kamu Sembahnya Maka jika tiada kuasa? Sabdanya  Maka azamkan olehmu dengan sof awal (Orang yang bang itu) Haajibullah seperti orang menunggu pintu menanti memberi izin bagi manusia dengan masuk kepada raja, demikianlah orang yang memberi ketahui akan manusia dengan masuk waktu sembahyang bang ia munajat dengan Tuhannya diberi dengan tiap-tiap kali bangnya, pahala seribu nabi (selain Nabi Muhammad SAW) (Dan imam) itu Wazirullah seperti wazir (menteri)  tempat mengikut manusia dengan dia pada sembahyang mereka itu diberikan dengan tiap-tiap sembahyangnya pahala seribu siddiq (Abu Bakar As-Siddiq)(Dan orang ‘alim) Wakil Allah Diberikan dengan tiap-tiap hadithnya nur pada Hari Qiamat dan disurat Allah baginya ibadah seribu tahun (ibadat sunat) (Dan orang yang) belajar ‘ilmu laki-laki dan perempuan mereka itu Khadam Allah Ta’ala, maka tiada balasan bagi mereka itu melainkan syurga
- (Dan daripada) Abu Sa’id Al-Khudri r.a. bahawasanya bersabda Nabi SAW baginya “Apabila ada kamu di dalam dusun, maka bang olehmu dan angkatkan suara kamu maka bahawasanya tiada mendengar akan dia oleh segala pohon kayu dan tanah dan manusia dan jin melainkan menaik saksi baginya pada Hari Qiamat pada Allah Ta’ala.
-Dan sabda Nabi SAW Barangsiapa bang 12 tahun, nescaya wajib baginya syurga.
-Dan sabda Nabi SAW Barangsiapa bang bagi 5 sembahyang, padahal percaya dengan bahawasanya bang itu daripada pekerjaan syara’ dan mengira-ngirakan pahalanya pada Allah, diampunkan baginya barang yang terdahulu daripada dosanya, maka bang lima sembahyang itu sama ada di dalam sehari semalam atau dalam beberapa hari bercerai-cerai
-Dan sabda Nabi SAW : Tiga orang yang dipelihara akan mereka itu oleh Allah Ta’ala daripada seksa qubur ; pertama, orang mati syahid; kedua, tukang bang; ketiga, orang yang mati pada Hari Juma’at atau malam Juma’at Dan dikehendaki dengan syahid itu syahid akhirat jua atau syahid dunia dan akhirat Adapun syahid akhirat jua maka yaitu seperti orang yang kena bunuh dengan zolim dan jikalau zolim pada kelakuan membunuhnya jua seperti orang yang mustahak dibunuhkan dia dengan kerat kepala maka dibunuhnya dengan kerat tengahnya dan orang yang mati tenggelam air dan jikalau derhaka padanya dengan sebab minum arak sekalipun bersalahan orang yang tenggelam air dengan menjalan akan perahunya pada waktu bergerak angin besar maka yaitu bukan syahid dan orang yang mati dengan sebab runtuh rumah atau terbakar api dan orang mati di dalam dagang (berniaga) dan jikalau derhaka dengan dagangnya sekalipun seperti sahaya yang lari daripada penghulunya dan perempuan yang derhaka kepada lakinya dan orang menuntut ilmu dan jikalau mati atas hamparannya sekalipun syahid juga dan orang mati sakit perut dan orang mati dengan sebab to’un dan jikalau pada yang lain masa to’un sekalipun atau mati dengan penyakit yang lain daripada to’un tetapi di dalam masa to’un atau kemudian daripada masa to’un sekira-kira  beria mengira-ngirakan pahalanya pada Allah Ta’ala dan setengah daripada syahid akhirat itu orang yang asyik kepada seorang dengan syarat terpelihara ia daripada jatuh kepada yang haram hingga menilik kepadanya pun tiada jatuh sekira-kira jikalau berkholwat ia dengan dia sekalipun tiada jatuh kejahatan dan dengan syarat disembunyikan hingga daripada orang yang ia kasih akan dia sekalipun dan perempuan yang mati beranak dan jikalau daripada zina sekalipun dengan syarat tiada makan ubat menjatuhkan dia demikian lagi orang mati terkejut atau mati di dalam negeri kafir harbi seperti kata Ibnu Rofi’ah,  maka sekalian yang tersebut syahid akhirat jua

(Dan adapun) syahid dunia dan akhirat maka yaitu orang mati dengan sebab perang dengan kafir kerana meninggikan agama Allah Ta’ala tiada kerana riak dan sum’ah dan apamanya (dan makna) syahadah bagi mereka itu bahawasanya hidup mereka itu pada Tuhan mereka itu dan direzeqikan mereka itu, seperti barang yang dikatakan dia Al-Hasini (bersalahan) syahid dunia jua maka tiada masuk ia di dalam hukum ini yaitu orang mati di dalam perang dengan kafir padahal berpaling lari daripada mereka itu atas wajah yang tiada redho oleh syara’ atau mati dengan perang mereka itu kerana riak atau sum’ah.

Dan sabda Nabi SAW :  Jikalau mengetahui manusia akan barang yang penting dan pada sof awal yakni daripada kelebihan pada keduanya kemudian tiada dapat mereka itu yakni akan jalan pada menghasilkan keduanya melainkan dengan membuang undi nescaya membuang undi mereka itu pada menghasilkan keduanya dan jikalau mengetahui mereka itu akan barang yang pada mendatangkan awal waktu nescaya berlumba-lumba mereka itu kepadanya dan jikalau mengetahui mereka itu akan barang yang pada sembahyang Isya’ dan Subuh yakni daripada kelebihan pahala berjema’ah pada keduanya nescaya mendatang mereka itu akan keduanya dan jikalau berjalan mengesak sekalipun
Kepada para ayah, jangan lupa untuk azan di telinga kanan & iqomah di telinga kiri bayi yang baru lahir

Dan sabda Nabi SAW : Barangsiapa mendengar ia akan bang maka mengucup ia akan dua ibu tangannya maka menghantar ia yakni akan keduanya atas 2 matanya dan berkata ia ‘‘Marhaban bizikrillahi ta’ala qurrotu a’yunina bika ya Rosulallah’’ maka akulah yang mensyafa’atkan akan dia pada Hari Qiamat dan yang menolong akan dia kepada syurga (faedah)

Riwayat Bukhori daripada Nabi SAW Bahawasanya bersabda ia Barangsiapa mendengar namaku pada bang dan menghantar ia akan dua ibu tangannya atas 2 matanya dan membaca ia akan doa ini akulah yang menuntut akan dia pada padang Qiamat yaitu ‘‘ Ya Basiron bila hadaqotin ihfaz ‘ainayya wanawwirhuma’’ 


dan tersebut dalam qososul anbiya’ bahawasanya Nabi Adam a.s. rindu hendak berjumpa dengan Nabi Muhammad alaihis solatu wassalam pada ketika ia di dalam syurga maka mewahyu Allah Ta’ala kepadanya yaitu pada sulbi engkau dan zohir ia pada akhir zaman maka memohon ia akan Allah Ta’ala bahawa (mahu) berjumpa ia dengan Muhammad alaihis solatu wasssalam di dalam syurga maka menjadi Allah Ta’ala akan nur Muhammad itu pada kuku dua ibu tangannya seperti cermin maka mengucup Adam akan kuku dua ibu tangannya dan sapu ia atas 2 matanya maka tatkala mengkhabar Jibril dengan demikian itu akan Nabi alaihis solatu wassalam sabdanya Barangsiapa mendengar namaku di dalam bang maka mengucup ia akan kuku dua ibu tangannya dan sapu ia atas 2 matanya nescaya tiada buta selama-lamanya (mata hati)

Sambungan (ustaz belum sampaikan)
(Dan riwayat) daripada Syeikh Fariduddin Barangsiapa membaca atas dua kuku ibu tangannya “Fakasyafna ‘anka ghito aka fabasorukal yauma hadidun” 7 kali 


dan menselawat ia atas Nabi alaihis solatu wassalam pada tiap-tiap kalinya kemudian mengucup ia akan dua ibu tangannya dan disapu dengan keduanya atas dua matanya nescaya memberi manfa’at bagi cahaya matanya dan hilang mudorat daripada dua matanya insyaAllah Ta’ala (atau) dibacanya “Marhaban bika ya habibi qurrota’yuni ya Rosulallah” 


seperti riwayat daripada Nabi Khidir a.s. (dan datang pada khabar) bahawasanya segala orang bang datang mereka itu akan sirotol mustaqim mendapat mereka itu atas sirot itu beberapa unta daripada nur yang berpelana daripada yaqut dan zabarjad maka terbang unta itu dengan mereka itu di atas sirot dan syafa’at oleh tiap-tiap daripada mereka itu 40 000 dan lalu di dalam nur ayat seribu laki-laki dan seribu perempuan 

Sabtu, Disember 04, 2010

Allah Telah Menjemputnya, Kita Pula Bila?

            Baru sahaja menapakkan kembali kaki ini ke bumi Malaya, terdengar Ustaz Tuan Sidek mengatakan yang dia akan menggantikan kuliah pada hari Selasa. Terkejut dengan kata-kata itu, menyebabkan aku terus bertanya kepada ahli jemaah di situ, ustaz mana yang meninggal. Rupa-rupanya Ustaz Sabri yang meninggal. Ustaz tersebut meninggal pada malam Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini.  Ketika itu, aku masih di Kuching.
            Tidak dapat aku lupakan pada satu hari aku pulang ke rumah (daripada sekolah menengah / matrikulasi), ustaz tersebut menumpangkan aku di atas motornya. Walaupun jarak dari tempat dia mengambilku tidaklah begitu jauh dengan rumahku, kebaikannya dapat aku rasakan.  Nak kata aku rapat dengannya, rasanya taklah serapat mana. Tapi, kebaikannya itu masih dapat aku ingati dan imbas kembali.
Ingatlah 2 perkara:
 1) Ingat kebaikan orang lain kepada kita
2) Ingat kejahatan kita kepada orang lain
Lupakanlah 2 perkara :
1) Lupakan kebaikan kita kepada orang lain
2) Lupakan kejahatan orang lain kepada kita. 
            Pemergiannya mengingatkan aku kepada satu pesanan yang pernah dia sampaikan kepadaku. Lebih kurang begini, “Nanti, kalau dah kerja, teruslah/ cepat-cepat pergi umroh. InsyaAllah, murah rezeqi”. Dalam kuliahnya pada malam yang sama, dia ada berkata lebih kurang begini, “Tidak ada tempat atas muka bumi yang kita pergi, yang kita boleh niatkan untuk mati, melainkan Tanah Suci Makkah & Madinah”.
            Hari ini, selepas menghadiri Kuliah Kitab Hikam (insyaAllah, akan dikongsikan), aku sempat mengejar ustaz yang mengajar tadi. Aku bertanya juga apa yang diwasiatkan (allahyarham) Ustaz Sabri kepadaku. Berkenaan dengan umroh, memang jelas disebutkan dalam Al-Qur’an, (2:196) “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah,….”. Ustaz tersebut menjawab, ayat tersebut menyebutkan kerana Allah. Itu bahagian yang ditekankan kepadaku. Barulah aku faham bahawa rezeqi akan dimurahkan sebab dilakukan kerana Allah semata-mata. 
            Ustaz tersebut juga menjelaskan berkenaan berniat untuk mati di Tanah Suci Makkah & Madinah. Jawabnya, ulama’ telah berbincang berkaitan perkara ini. Apabila kita pergi haji/ umroh dengan berniat begini, maka akan wujud niat yang berpecah dua. Satunya nak buat haji/ umroh dan satu lagi nak mati. Ustaz tersebut mengatakan adalah baik sekiranya kita berdoa begini (lebih kurang), “Ya Allah, aku melaksanakan haji/ umroh kerana-Mu. Jika aku ditaqdirkan mati di sana, aku redho”.
          Ingin juga aku kongsikan ayat berkaitan berkaitan ajal/ kematian/ tempoh, agar diri ini dan pembaca sekalian sentiasa ingat bahawa kematian itu tidak dapat dipercepatkan atau dilambatkan, tetapi yang penting adalah apa yang telah kita lakukan sebagai persediaan untuk menghadapinya.

(Yunus, 10:49) : Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak (pula) kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah." Tiap-tiap umat mempunyai ajal [masa keruntuhannya]. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya).

(Al’A’rof, 7:34) : Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

(An-Nahl, 16:61) : Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.

(As-Soba’,34:30) : Katakanlah: "Bagimu ada hari yang telah dijanjikan (hari kiamat) yang tiada dapat kamu minta mundur daripadanya barang sesaatpun dan tidak (pula) kamu dapat meminta supaya diajukan." 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...