Sabtu, Disember 04, 2010

Allah Telah Menjemputnya, Kita Pula Bila?

            Baru sahaja menapakkan kembali kaki ini ke bumi Malaya, terdengar Ustaz Tuan Sidek mengatakan yang dia akan menggantikan kuliah pada hari Selasa. Terkejut dengan kata-kata itu, menyebabkan aku terus bertanya kepada ahli jemaah di situ, ustaz mana yang meninggal. Rupa-rupanya Ustaz Sabri yang meninggal. Ustaz tersebut meninggal pada malam Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini.  Ketika itu, aku masih di Kuching.
            Tidak dapat aku lupakan pada satu hari aku pulang ke rumah (daripada sekolah menengah / matrikulasi), ustaz tersebut menumpangkan aku di atas motornya. Walaupun jarak dari tempat dia mengambilku tidaklah begitu jauh dengan rumahku, kebaikannya dapat aku rasakan.  Nak kata aku rapat dengannya, rasanya taklah serapat mana. Tapi, kebaikannya itu masih dapat aku ingati dan imbas kembali.
Ingatlah 2 perkara:
 1) Ingat kebaikan orang lain kepada kita
2) Ingat kejahatan kita kepada orang lain
Lupakanlah 2 perkara :
1) Lupakan kebaikan kita kepada orang lain
2) Lupakan kejahatan orang lain kepada kita. 
            Pemergiannya mengingatkan aku kepada satu pesanan yang pernah dia sampaikan kepadaku. Lebih kurang begini, “Nanti, kalau dah kerja, teruslah/ cepat-cepat pergi umroh. InsyaAllah, murah rezeqi”. Dalam kuliahnya pada malam yang sama, dia ada berkata lebih kurang begini, “Tidak ada tempat atas muka bumi yang kita pergi, yang kita boleh niatkan untuk mati, melainkan Tanah Suci Makkah & Madinah”.
            Hari ini, selepas menghadiri Kuliah Kitab Hikam (insyaAllah, akan dikongsikan), aku sempat mengejar ustaz yang mengajar tadi. Aku bertanya juga apa yang diwasiatkan (allahyarham) Ustaz Sabri kepadaku. Berkenaan dengan umroh, memang jelas disebutkan dalam Al-Qur’an, (2:196) “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah,….”. Ustaz tersebut menjawab, ayat tersebut menyebutkan kerana Allah. Itu bahagian yang ditekankan kepadaku. Barulah aku faham bahawa rezeqi akan dimurahkan sebab dilakukan kerana Allah semata-mata. 
            Ustaz tersebut juga menjelaskan berkenaan berniat untuk mati di Tanah Suci Makkah & Madinah. Jawabnya, ulama’ telah berbincang berkaitan perkara ini. Apabila kita pergi haji/ umroh dengan berniat begini, maka akan wujud niat yang berpecah dua. Satunya nak buat haji/ umroh dan satu lagi nak mati. Ustaz tersebut mengatakan adalah baik sekiranya kita berdoa begini (lebih kurang), “Ya Allah, aku melaksanakan haji/ umroh kerana-Mu. Jika aku ditaqdirkan mati di sana, aku redho”.
          Ingin juga aku kongsikan ayat berkaitan berkaitan ajal/ kematian/ tempoh, agar diri ini dan pembaca sekalian sentiasa ingat bahawa kematian itu tidak dapat dipercepatkan atau dilambatkan, tetapi yang penting adalah apa yang telah kita lakukan sebagai persediaan untuk menghadapinya.

(Yunus, 10:49) : Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak (pula) kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah." Tiap-tiap umat mempunyai ajal [masa keruntuhannya]. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya).

(Al’A’rof, 7:34) : Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

(An-Nahl, 16:61) : Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.

(As-Soba’,34:30) : Katakanlah: "Bagimu ada hari yang telah dijanjikan (hari kiamat) yang tiada dapat kamu minta mundur daripadanya barang sesaatpun dan tidak (pula) kamu dapat meminta supaya diajukan." 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...