Rabu, April 18, 2012

Hari Pertama Bekerja Sebagai Jururawat Terlatih (Staff Nurse) (Siri 1)

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya milik Allah, Robb & Ilah sekalian alam. Selawat & salam ke atas junjungan Rosulullah SAW, para rosul, para nabi, siddiqin, syuhada' & solihin.

Alhamdulillah sekali lagi kerana Allah Ta'ala menetapkan diri ini dapat juga bekerja sebagai seorang jururawat terlatih (staff nurse) dalam sebuah pusat rawatan swasta yang menekankan ciri & nilai Islam dalam gerak kerjanya. Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah (saya akan tulis sebagai Az-Zahrah dalam tulisan ini) yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor, ditubuhkan pada tahun 1997 dengan 7 buah katil dan kini berjumlah 40 buah katil dan bakal bertambah kepada 60 buah. Kakitangan pula bermula dengan kira-kira 9 atau 11 orang & kini menjadi 230 orang kakitangan. Asrama untuk kakitangan hanya untuk perempuan & telah penuh. Ahli Lembaga Pengarahnya terdiri daripada En Abdul Rahman Mat Dali & En Zaim Shaari.


Sebelum mendapat lesen jururawat pada bulan 8 atau 9 tahun 2011, saya telahpun memohon (tanpa lesen) kerja sebagai jururawat di empat hospital swasta di Kuantan. Setelah menunggu lebih kurang 7 bulan di Kuantan & desakan untuk mencukupkan 30 markah untuk Perkembangan Profesional Berterusan-PPB-(saya terjemah sendiri) atau Continuous Professional Development-CPD, saya terpaksa memohon ke pusat rawatan di luar Kuantan. Untuk PPB ini, setakat 2 hari lepas (16/4/2012), markah terkini yang perlu dikumpulkan adalah 30, bukan 25 sebagaimana yang tercatat dalam risalah panduan iaitu 25-30 markah -http://www.moh.gov.my/images/gallery/Garispanduan/CPD/CPD_For_Nurses_UDP081010.pdf. Setiap jururawat perlu mendapatkan markah yang mencukupi sebelum 1 September setiap tahun & dikenakan denda  setelah tarikh tersebut. Lesen ini adalah bersifat tahunan sama seperti doktor. Lesen untuk tahun 2013 perlu dikumpulkan sebelum tahun tersebut tiba. Tanpa lesen tersebut, seseorang  tidak boleh mengamalkan amalan jururawat di dalam mana-mana bahagian persekutuan.

Baiklah, manfaat & gaji Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah atau Az-Zahrah Islamic Medical Centre atau AZIM, insyaAllah akan dikongsikan dalam tulisan akan datang (tertakluk kepada peraturan Az-Zahrah & Ketua Sumber Manusia - En Zaim Shaari).

Hari pertama itu merupakan hari yang amat bersejarah. Bermula dengan perhimpunan awal pagi, proses suai kenal (orientasi) bahagian dan kakitangan Az-Zahrah & akhirnya baru ke bahagian Kecemasan & Luka (saya terjemah sendiri)-K&L (Emergency & Trauma - E&T atau nama lama di hospital kerajaan - Accident & Emergency -A&E).

Saya diberi masa 2 minggu untuk suai kenal di bahagian tersebut. Jururawat di wad semuanya perempuan tetapi di K&L, terdapat jururawat lelaki & perempuan serta pembantu perubatan (MA-Medical Assistant). Untuk 2 minggu pertama, saya akan bekerja dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang & cuti pada hari Sabtu & Ahad. Rehat pukul 1 tengah hari hingga 2 petang. Selepas itu barulah sistem giliran (shift) dikenakan kepada saya dan satu hari cuti. Sistem giliran tersebut dipecahkan kepada 3 iaitu 8 pagi-3 petang, 3 petang-10 malam & 10 malam-8 pagi. Terdapat satu masa yang lain iaitu 5 petang hingga 12 malam. Mungkin untuk mempermudah urusan saya, ketua bahagian tersebut memberikan saya peluang untuk masuk kerja jam 8 pagi & tamat jam 5 petang.

Penggunaan telefon adalah dilarang sama sekali semasa tempoh bekerja dan sebenarnya dilarang untuk dibawa. Oleh yang demikian, kepada yang ingin menghubungi saya, sila hubungi Az-Zahrah di talian 03-89212525, kemudian minta disambungkan ke bahagian kecemasan/ pesakit luar.

InsyaAllah, saya dan seorang lagi sahabat sekerja akan terlibat dalam pemeriksaan kesihatan yang ditaja oleh Az-Zahrah kepada peserta Program Imam Muda Siri 3 pada 23 April 2012.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...