Rosulullah cenderung melakukan uzlah (pengasingan diri daripada orang banyak) ketika usia baginda mendekati 40 tahun. Allah menumbuhkan dalam dirinya rasa senang melakukan ikhtila’ (menyendiri) di Gua Hira’. Baginda menyendiri dan beribadah selama beberapa malam. Kadang kala sampai sepuluh malam dan ada juga sampai satu bulan. Baginda kembali ke rumah untuk mengambil bekal baru untuk melanjutkan ikhtila’nya. Baginda terus-terusan dalam keadaan demikian sehingga wahyu pertama diturunkan iaitu ketika baginda sedang beruzlah.
Beberapa Pengajaran
1) Seorang Muslim tidak akan sempurna keislamannya betapapun ia memiliki akhlaq yang mulia dan melaksanakan segala macam ibadah selagimana ia belum menyempurnakan keislamannya dengan waktu-waktu uzlah dan kholwah (menyendiri) untuk menilai atau ‘mengadili’ dirinya sendiri ataupun muhasabatun nafsi. Ia merasakan pengawasan Allah dan merenungkan fenomena-fenomena alam semesta yang menjadi bukti keagungan Allah. Perkara ini merupakan kewajipan seorang Muslim yang ingin mencapai keislaman yang benar, apalagi sebagai penyeru kepada Allah (da’i) dan penunjuk kepada jalan yang benar.
3) Kaedah (sarana) untuk menimbulkan mahabatullah. Setelah iman kepada Allah, seseorang perlu memperbanyak tafakur tentang ciptaan dan nikmat-nikmat-Nya, merenungkan keagungan dan kebesaran-Nya, kemudian memperbanyak mengingat Allah dengan lisan dan hati. Semua ini hanya boleh diwujudkan dengan uzlah, kholwah dan menjauhi kesibukan-kesibukan dunia dan keramaiannya pada waktu-waktu tertentu secara terprogram.
Pemahaman yang keliru dan menyimpang daripada petunjuk Nabi SAW termasuklah tindakan meninggalkan sama sekali pergaulan dengan manusia dengan hidup dan tinggal di gua-gua. Kholwah ialah ubat untuk memperbaik keadaan. Ubat tidak perlu diambil kecuali dengan sekadar keperluan.
(Dipetik dan disunting daripada Sirah Nabawiyyah, karangan Dr Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthy)