Rabu, Februari 02, 2011

Meneliti Bacaan & Doa dalam Al-Ma'thurot

Apabila membaca Al-Ma'thurot, ada masanya ana lebih suka melihat tulisannya & ada masanya ana teringin juga melihat maksudnya agar memahami maksudnya. Melakukannya berselang seli rasanya bolehlah juga. Ayat al-Qur'an itu amat penting untuk dilihat dan mengetahui maksudnya juga penting agar dapat ber'amal dengan ayat tersebut.

Pengalaman membaca Al_Ma'thurot daripada pelbagai buku Ma'thurot, menyebabkan ana tertanya mana ungkapan yang betul. Ma'afkan ana jika ana terlalu melihat aspek bahasa ni. Tetapi, pada pendapat ana, bahasa juga perlu dilihat sebab kita bukan orang Arab (kita digelar orang 'Ajam-orang bukan Arab) dan dalam berhubung dengan Allah SWT, Yang Maha Agung (walaupun Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita minta).

Di sini, ana kongsikan 6 perbezaan yang ana lihat itu. Apa yang ana 'amalkan adalah apa yang diberitahu oleh Ustaz Deding (Ustaz dari Indonesia yang mengajar Bahasa Arab di Unimas-tapi dah kembali ke Indonesia) :
1) Al-Hayyu sepatutnya dibaca Al-Hayya
2) Al-Qoyyumu sepatutnya dibaca Al-Qoyyuma

(Perkara 1 & 2  ini disampaikan oleh Akh Azrin daripada Ustaz Deding-kerana melihat huruf ha yang berbaris atas dalam kalimat Allah dalam istighfar ini). Dalam buku Ma'thurot yang dikeluarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), istighfar ini ditulis sebagaimana yang ana nyatakan iaitu Al-Hayya dan Al-Qoyyuma. (Pembetulan Perkara 1 & 2 ditulis dalam rencana selepas rencana ini)

 3) Dalam buku Ma'thurot yang dikeluarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tulisan ini ditulis Rotban (salah). Apa yang tertulis dalam gambar di atas sebagai "Rotiban" adalah yang betul.

4) Ta'lam- bacaan yang lebih baik menurut Ustaz Deding adalah ta'lamu (Buku Ma'thurot ATM betul)
5) Nasroti - sepatutnya dibaca Nusroti (Buku Ma'thurot ATM betul)
6) Wamla'ha (betul) - tanda mati/ sukun sepatutnya diletakkan pada hamzahnya.

Hikmah 47 (Bersangkut juga dengan Hikmah 45 & 46) dalam Kitab Syarah Hikam ada menyebutkan, 
"Jangan kamu meninggalkan zikir (menyebut atau mengingat Allah) disebabkan tidak hadir hatimu terhadap Allah dalam zikir itu, ini kerana kelalaianmu terhadap Allah ketika tidak berzikir lebih berat atau berbahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir. Mudah-mudahan Allah SWT akan mengangkat darjatmu daripada zikir yang ada kelalaian, kepada zikir yang hatimu sentiasa sedar. Dan seterusnya kepada zikir yang berserta kehadiran Allah dalam hati, dan akhirnya kepada zikir yang lenyap segala yang lain selain Allah."

Kesimpulannya hati kita sepatutnya berjalan menuju Allah seperti berikut:
Zikir (hati lalai) > Zikir (hati sedar) > Zikir (rasa kehadiran Allah dalam hati) > Zikir (tak ingat yang lain melainkan Allah).

Dengan mengaitkan dengan mutaba'ah ibadah (laporan ibadah mingguan) terpilih termasuklah Tahajjud, Subuh berjema'ah, Al-Mat'thurot, Dhuha, Tilawah al-Qur'an dan istighfar, semuanya adalah zikir kepada Allah. 

Perlu juga diingat dalam berzikir kepada Allah dalam ibadah khusus seperti ini, penjajah (fizikal dan mental) memang mensasarkan agar umat Islam hanya mencari kepuasan rohaninya semata-mata dan melupakan aspek pemerintahan atau politik. Umat dipisahkan mengikut daerah dan negeri agar tidak bersatu (divide and rule-pecah dan perintah). Politik atau siasah adalah salah satu aspek yang ditekankan oleh Al-Qur'an dan sunnah. Mana mungkin hukum Al-Qur'an & sunnah boleh tertegak di bumi andai manusia tidak sujud pada perintah Allah dalam dua panduan agung umat Islam ini. Mengambil aspek iman dan rohani semata-mata akan menyebabkan umat Islam mengingkari ayat 208 Suroh Al-Baqoroh (2:208), "Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."

Oleh itu, dalam beribadah, politik juga termasuk dalam ibadah jika dilaksanakan hukum atau ketetapan Allah dalam urusan pemerintahan itu. Ingatlah ayat hukum tidak banyak dalam Al-Qur'an. Bagi mereka yang berani menolak hukum Allah, baca, renungi, pelajari dan dalami 3 ayat A-Qur'an ini, ayat 44, 45, dan 47, Suroh Al-Ma'idah, (5:44, 45, 47).

5:44 : .....Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir

5:45 : .....Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim

5:47 : .....Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik[420]

[420]. Orang yang tidak memutuskan perkara menurut hukum Allah, ada tiga macam:
a. karena benci dan ingkarnya kepada hukum Allah, orang yang semacam ini kafir (5:44)
b. karena menurut hawa nafsu dan merugikan orang lain dinamakan zalim (5:45)
c. karena fasik (5:47) 

Akhir kata, kita perlu ingat bahawa tugas kita sebagai pengganti rosul dan kholifah adalah membawa petunjuk (Al-Qur'an) dan memenangkan Islam atas semua agama yang lain. (At-Taubah, 9:33) dan (As-Soff, 61:9).

Rujukan : 
1) Zulkifli al-Bakri, Syarah Al-Hikam Jilid I, Syarah 47 (Jangan kamu meninggalkan zikir), Telaga Biru, Jun 2009
2) Al-Mathurat & Surah Yasin, Darul Nu'man (m/s 33, 39, 45)
3) Al-Ma'thurat (keluaran ATM, warna hijau)
4) Al-Qur'an Digital

Selasa, Februari 01, 2011

Nak Toma'ninah ke Tak Nak Ni?

Setiap Muslim adalah da'i. Dalam menyeru manusia kepada Allah, tentulah seseorang da'i itu perlu menjaga hubungannya dengan Tuhannya. Mutaba'ah (laporan ibadah) yang diminta (mahupun yang tidak diminta) sewajarnya dijaga agar da'wah yang dilakukan tidak hanya berapi dalam ungkapan tapi turut diterjemahkan dalam 'amal perbuatan.

Dalam ibadat khusus kepada Allah, solat adalah 'amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, seseorang itu perlu melihat dengan cermat dan teliti adakah solatnya bertepatan dengan kehendak Allah. Bukan sekadar solat ikut-ikutan seperti kanak-kanak, tetapi turut melihat aspek fiqh dan tasawuf (hati) yang mesti dipelajari dan dipraktikkan ketika melaksanakan ibadat tersebut.

Bukanlah ana mendabik dada dengan ilmu yang ada, tetapi ana ingin berkongsi sedikit ilmu yang Allah telah anugerahkan agar ana tidak menyembunyikan kebenaran dan mengingatkan diri ana dan juga orang lain.

Sedih di sudut hati ana, apabila melihat orang yang bersolat (terutamanya yang bersungguh-sungguh melaksanakan tugas sebagai da'i) tidak menjaga salah satu aspek yang amat dititikberatkan dalam solat. Aspek yang ana maksudkan adalah toma'ninah. Toma'ninah yang dapat dilihat adalah rukuk, i'tidal, sujud dan duduk antara dua sujud manakala yang tidak dapat dilihat adalah toma'ninah semasa tasyahud (tahiyat) akhir (sebelum membaca bacaan tahiyat).

Setelah ana bertanya kepada seorang ustaz yang mengajar Kuliah Fiqh di surau kolej ana, beliau mengatakan ma'mum perlu melihat imamnya melakukan toma'ninah atau tidak (contohnya : i'tidal). Oleh yang demikian, melalui pemerhatian ana di dalam dan di luar solat, toma'ninah semasa i'tidal adalah antara beberapa toma'ninah yang biasanya tidak dijaga.

Memetik Kitab Fiqh Solat, syarat i'tidal termasuklah:
1) Sesudah sempurna ruku'
2) Menyengajakan bangkit untuk i'tidal
3) Berdiri betul
4) Toma'ninah dalam i'tidal (Nota kaki 1 m/s 154)
5) I'tidal adalah rukun yang pendek, oleh itu janganlah dipanjangkan melebihi daripada zikir yang disunatkan iaitu sekadar bacaan Fatihah kecuali pada bacaan qunut dan bacaan tasbih dalam solat sunat tasbih.

Nota kaki 1 m/s 154:
1) Toma'ninah bermaksud menyempurnakan perbuatan rukun itu dengan tubuh badan diam, tanpa bergerak sekadar masa mengata subhanallah jua. Selalunya berlaku ketiadaan toma'ninah semasa seseorang itu i'tidal, dimana kedua-dua tangannya bergerak, berayun-ayun ke hadapan dan ke belakang selepas bangkit daripada ruku', kemudian langsung dia turun bersujud. Walaupun masa i'tidalnya lama, maka dia tidak dikira mengerjakan toma'ninah. Oleh itu solat yang tiada toma'ninah tidak sah hukumnya. Selain itu, perlu diperingatkan bahawa cara atau kaedah supaya lengan kita tidak bergerak berayun-ayun semasa i'tidal, maka hendaklah kita merapatkan kedua lengan ke tubuh kita. Keadaan lain berlakunya ketiadaan toma'ninah dalam mengerjakan i'tidal adalah kegopohan si yang bersolat ketika bangkit berdiri untuk i'tidal. Sebelum sempat tubuh badannya diam, bertoma'ninah i'tidal sekadar masa mengata subhanallah, dia terus turun bersujud, atau sebelum sempat tubuh badannya diam bertoma'ninah dalam i'tidal, kedua belah tangannya dengan spontannya menarik atau menyelak jubah atau kain pelikatnya ke atas dan langsung dia terus turun bersujud. Justeru, berlakulah ketiadaan sedikit ruang masapun untuk toma'ninah kerana anggotanya berterusan bergerak, sambung-menyambung. Oleh itu awasilah ibadat dengan cermat dan hati-hati supaya ianya sah.

Menurut sebahagian tulisan Ummu Waheedah, berikut adalah tempat yang sering diabaikan tamakninah:

1. Iktidal, terdapat sesetengah orang terutama orang tua, apabila bangun daripada rukuk kepada iktidal, belum sempat tulang belakangnya lurus seperti sebelumnya, dia telah turun untuk sujud. Solat ini tidak sah kerana tidak berlaku tamakninah. 
2. Iktidal, terdapat juga sesetengah orang sama ada orang muda mahupun orang tua, apabila bangun daripada rukuk kepada iktidal, tangannya diayunkan berkali-kali dan belum sempat tangan itu berhenti, dia telah turun untuk sujud. Solat ini juga tidak sah kerana tidak berlaku tamakninah. 
3. Sujud, waktu sujud dua kakinya dibiarkan bergerak-gerak dan ada yang mengangkatnya (tidak mencecahkan jari kaki ke lantai). Sujud dalam keadaan ini tidak sempurna kerana syarat sah sujud bila tujuh anggota sujud mencecah ke lantai. Pada masa yang sama solat itu sah kerana tidak berlaku tamakninah. 

Hikmah toma'ninah dalam solat adalah :


Rujukan : 
-Kitab Fiqh Solat (Hj Engku Ali b Engku Endut-m/s 185, 154, 155)
-Formula Solat Sempurna (Ust. Zaharuddin Abd Rahman-m/s 12)

Khamis, Disember 09, 2010

Fadhilat Bang (Azan)

Kitab : Al-Jauhar Al-Mauhub Wa Minbihatil Qulub (Kalau tak salah baris), 
29 November 2010, Isnin, Masjid Batu 12, Ustaz Asri dari Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh)

Bab: Fadhilat Bang (Azan)
(Ditukar ke tulisan rumi dengan sedikit pengubahsuaian ejaan dan susunan agar pembaca mudah faham, kesalahan tatabahasa tidak dibaiki untuk memperlihatkan gaya Bahasa Melayu lama)
(Penerangan ustaz dalam italic) (Tulisan yang ditebalkan mungkin boleh diabaikan sebelum kepastian daripada ustaz)

Bab yang kedua lapan pada menyatakan kelebihan bang.
Sabda Nabi SAW : Barangsiapa yang bang sembahyang 7 tahun padahal mengira-ngirakan pahalanya pada Allah, tiada mengambil upah, nescaya disurat Allah Ta’ala baginya kelepasan daripada api neraka (Pada satu riwayat) : Diharamkan Allah dagingnya dan tubuhnya atas binatang yang melata pada bumi daripada memakan akan dia di dalam quburnya
(Dan bertanya seorang akan Rosulullah SAW sembahnya Ya Rosulullah, khabarkan olehmu akan daku dengan ‘amal yang memasukkan daku dengan dia akan syurga Sabdanya  Jadikan diri kamu tukang bang bagi kaum kamu, berhimpun mereka itu sembahyang dengan kamu Sembahnya Maka jika tiada kuasa? Sabdanya Jadikan dirimu imam bagi kaum kamu sembahyang mereka itu dengan kamu Sembahnya Maka jika tiada kuasa? Sabdanya  Maka azamkan olehmu dengan sof awal (Orang yang bang itu) Haajibullah seperti orang menunggu pintu menanti memberi izin bagi manusia dengan masuk kepada raja, demikianlah orang yang memberi ketahui akan manusia dengan masuk waktu sembahyang bang ia munajat dengan Tuhannya diberi dengan tiap-tiap kali bangnya, pahala seribu nabi (selain Nabi Muhammad SAW) (Dan imam) itu Wazirullah seperti wazir (menteri)  tempat mengikut manusia dengan dia pada sembahyang mereka itu diberikan dengan tiap-tiap sembahyangnya pahala seribu siddiq (Abu Bakar As-Siddiq)(Dan orang ‘alim) Wakil Allah Diberikan dengan tiap-tiap hadithnya nur pada Hari Qiamat dan disurat Allah baginya ibadah seribu tahun (ibadat sunat) (Dan orang yang) belajar ‘ilmu laki-laki dan perempuan mereka itu Khadam Allah Ta’ala, maka tiada balasan bagi mereka itu melainkan syurga
- (Dan daripada) Abu Sa’id Al-Khudri r.a. bahawasanya bersabda Nabi SAW baginya “Apabila ada kamu di dalam dusun, maka bang olehmu dan angkatkan suara kamu maka bahawasanya tiada mendengar akan dia oleh segala pohon kayu dan tanah dan manusia dan jin melainkan menaik saksi baginya pada Hari Qiamat pada Allah Ta’ala.
-Dan sabda Nabi SAW Barangsiapa bang 12 tahun, nescaya wajib baginya syurga.
-Dan sabda Nabi SAW Barangsiapa bang bagi 5 sembahyang, padahal percaya dengan bahawasanya bang itu daripada pekerjaan syara’ dan mengira-ngirakan pahalanya pada Allah, diampunkan baginya barang yang terdahulu daripada dosanya, maka bang lima sembahyang itu sama ada di dalam sehari semalam atau dalam beberapa hari bercerai-cerai
-Dan sabda Nabi SAW : Tiga orang yang dipelihara akan mereka itu oleh Allah Ta’ala daripada seksa qubur ; pertama, orang mati syahid; kedua, tukang bang; ketiga, orang yang mati pada Hari Juma’at atau malam Juma’at Dan dikehendaki dengan syahid itu syahid akhirat jua atau syahid dunia dan akhirat Adapun syahid akhirat jua maka yaitu seperti orang yang kena bunuh dengan zolim dan jikalau zolim pada kelakuan membunuhnya jua seperti orang yang mustahak dibunuhkan dia dengan kerat kepala maka dibunuhnya dengan kerat tengahnya dan orang yang mati tenggelam air dan jikalau derhaka padanya dengan sebab minum arak sekalipun bersalahan orang yang tenggelam air dengan menjalan akan perahunya pada waktu bergerak angin besar maka yaitu bukan syahid dan orang yang mati dengan sebab runtuh rumah atau terbakar api dan orang mati di dalam dagang (berniaga) dan jikalau derhaka dengan dagangnya sekalipun seperti sahaya yang lari daripada penghulunya dan perempuan yang derhaka kepada lakinya dan orang menuntut ilmu dan jikalau mati atas hamparannya sekalipun syahid juga dan orang mati sakit perut dan orang mati dengan sebab to’un dan jikalau pada yang lain masa to’un sekalipun atau mati dengan penyakit yang lain daripada to’un tetapi di dalam masa to’un atau kemudian daripada masa to’un sekira-kira  beria mengira-ngirakan pahalanya pada Allah Ta’ala dan setengah daripada syahid akhirat itu orang yang asyik kepada seorang dengan syarat terpelihara ia daripada jatuh kepada yang haram hingga menilik kepadanya pun tiada jatuh sekira-kira jikalau berkholwat ia dengan dia sekalipun tiada jatuh kejahatan dan dengan syarat disembunyikan hingga daripada orang yang ia kasih akan dia sekalipun dan perempuan yang mati beranak dan jikalau daripada zina sekalipun dengan syarat tiada makan ubat menjatuhkan dia demikian lagi orang mati terkejut atau mati di dalam negeri kafir harbi seperti kata Ibnu Rofi’ah,  maka sekalian yang tersebut syahid akhirat jua

(Dan adapun) syahid dunia dan akhirat maka yaitu orang mati dengan sebab perang dengan kafir kerana meninggikan agama Allah Ta’ala tiada kerana riak dan sum’ah dan apamanya (dan makna) syahadah bagi mereka itu bahawasanya hidup mereka itu pada Tuhan mereka itu dan direzeqikan mereka itu, seperti barang yang dikatakan dia Al-Hasini (bersalahan) syahid dunia jua maka tiada masuk ia di dalam hukum ini yaitu orang mati di dalam perang dengan kafir padahal berpaling lari daripada mereka itu atas wajah yang tiada redho oleh syara’ atau mati dengan perang mereka itu kerana riak atau sum’ah.

Dan sabda Nabi SAW :  Jikalau mengetahui manusia akan barang yang penting dan pada sof awal yakni daripada kelebihan pada keduanya kemudian tiada dapat mereka itu yakni akan jalan pada menghasilkan keduanya melainkan dengan membuang undi nescaya membuang undi mereka itu pada menghasilkan keduanya dan jikalau mengetahui mereka itu akan barang yang pada mendatangkan awal waktu nescaya berlumba-lumba mereka itu kepadanya dan jikalau mengetahui mereka itu akan barang yang pada sembahyang Isya’ dan Subuh yakni daripada kelebihan pahala berjema’ah pada keduanya nescaya mendatang mereka itu akan keduanya dan jikalau berjalan mengesak sekalipun
Kepada para ayah, jangan lupa untuk azan di telinga kanan & iqomah di telinga kiri bayi yang baru lahir

Dan sabda Nabi SAW : Barangsiapa mendengar ia akan bang maka mengucup ia akan dua ibu tangannya maka menghantar ia yakni akan keduanya atas 2 matanya dan berkata ia ‘‘Marhaban bizikrillahi ta’ala qurrotu a’yunina bika ya Rosulallah’’ maka akulah yang mensyafa’atkan akan dia pada Hari Qiamat dan yang menolong akan dia kepada syurga (faedah)

Riwayat Bukhori daripada Nabi SAW Bahawasanya bersabda ia Barangsiapa mendengar namaku pada bang dan menghantar ia akan dua ibu tangannya atas 2 matanya dan membaca ia akan doa ini akulah yang menuntut akan dia pada padang Qiamat yaitu ‘‘ Ya Basiron bila hadaqotin ihfaz ‘ainayya wanawwirhuma’’ 


dan tersebut dalam qososul anbiya’ bahawasanya Nabi Adam a.s. rindu hendak berjumpa dengan Nabi Muhammad alaihis solatu wassalam pada ketika ia di dalam syurga maka mewahyu Allah Ta’ala kepadanya yaitu pada sulbi engkau dan zohir ia pada akhir zaman maka memohon ia akan Allah Ta’ala bahawa (mahu) berjumpa ia dengan Muhammad alaihis solatu wasssalam di dalam syurga maka menjadi Allah Ta’ala akan nur Muhammad itu pada kuku dua ibu tangannya seperti cermin maka mengucup Adam akan kuku dua ibu tangannya dan sapu ia atas 2 matanya maka tatkala mengkhabar Jibril dengan demikian itu akan Nabi alaihis solatu wassalam sabdanya Barangsiapa mendengar namaku di dalam bang maka mengucup ia akan kuku dua ibu tangannya dan sapu ia atas 2 matanya nescaya tiada buta selama-lamanya (mata hati)

Sambungan (ustaz belum sampaikan)
(Dan riwayat) daripada Syeikh Fariduddin Barangsiapa membaca atas dua kuku ibu tangannya “Fakasyafna ‘anka ghito aka fabasorukal yauma hadidun” 7 kali 


dan menselawat ia atas Nabi alaihis solatu wassalam pada tiap-tiap kalinya kemudian mengucup ia akan dua ibu tangannya dan disapu dengan keduanya atas dua matanya nescaya memberi manfa’at bagi cahaya matanya dan hilang mudorat daripada dua matanya insyaAllah Ta’ala (atau) dibacanya “Marhaban bika ya habibi qurrota’yuni ya Rosulallah” 


seperti riwayat daripada Nabi Khidir a.s. (dan datang pada khabar) bahawasanya segala orang bang datang mereka itu akan sirotol mustaqim mendapat mereka itu atas sirot itu beberapa unta daripada nur yang berpelana daripada yaqut dan zabarjad maka terbang unta itu dengan mereka itu di atas sirot dan syafa’at oleh tiap-tiap daripada mereka itu 40 000 dan lalu di dalam nur ayat seribu laki-laki dan seribu perempuan 

Sabtu, Disember 04, 2010

Allah Telah Menjemputnya, Kita Pula Bila?

            Baru sahaja menapakkan kembali kaki ini ke bumi Malaya, terdengar Ustaz Tuan Sidek mengatakan yang dia akan menggantikan kuliah pada hari Selasa. Terkejut dengan kata-kata itu, menyebabkan aku terus bertanya kepada ahli jemaah di situ, ustaz mana yang meninggal. Rupa-rupanya Ustaz Sabri yang meninggal. Ustaz tersebut meninggal pada malam Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini.  Ketika itu, aku masih di Kuching.
            Tidak dapat aku lupakan pada satu hari aku pulang ke rumah (daripada sekolah menengah / matrikulasi), ustaz tersebut menumpangkan aku di atas motornya. Walaupun jarak dari tempat dia mengambilku tidaklah begitu jauh dengan rumahku, kebaikannya dapat aku rasakan.  Nak kata aku rapat dengannya, rasanya taklah serapat mana. Tapi, kebaikannya itu masih dapat aku ingati dan imbas kembali.
Ingatlah 2 perkara:
 1) Ingat kebaikan orang lain kepada kita
2) Ingat kejahatan kita kepada orang lain
Lupakanlah 2 perkara :
1) Lupakan kebaikan kita kepada orang lain
2) Lupakan kejahatan orang lain kepada kita. 
            Pemergiannya mengingatkan aku kepada satu pesanan yang pernah dia sampaikan kepadaku. Lebih kurang begini, “Nanti, kalau dah kerja, teruslah/ cepat-cepat pergi umroh. InsyaAllah, murah rezeqi”. Dalam kuliahnya pada malam yang sama, dia ada berkata lebih kurang begini, “Tidak ada tempat atas muka bumi yang kita pergi, yang kita boleh niatkan untuk mati, melainkan Tanah Suci Makkah & Madinah”.
            Hari ini, selepas menghadiri Kuliah Kitab Hikam (insyaAllah, akan dikongsikan), aku sempat mengejar ustaz yang mengajar tadi. Aku bertanya juga apa yang diwasiatkan (allahyarham) Ustaz Sabri kepadaku. Berkenaan dengan umroh, memang jelas disebutkan dalam Al-Qur’an, (2:196) “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah,….”. Ustaz tersebut menjawab, ayat tersebut menyebutkan kerana Allah. Itu bahagian yang ditekankan kepadaku. Barulah aku faham bahawa rezeqi akan dimurahkan sebab dilakukan kerana Allah semata-mata. 
            Ustaz tersebut juga menjelaskan berkenaan berniat untuk mati di Tanah Suci Makkah & Madinah. Jawabnya, ulama’ telah berbincang berkaitan perkara ini. Apabila kita pergi haji/ umroh dengan berniat begini, maka akan wujud niat yang berpecah dua. Satunya nak buat haji/ umroh dan satu lagi nak mati. Ustaz tersebut mengatakan adalah baik sekiranya kita berdoa begini (lebih kurang), “Ya Allah, aku melaksanakan haji/ umroh kerana-Mu. Jika aku ditaqdirkan mati di sana, aku redho”.
          Ingin juga aku kongsikan ayat berkaitan berkaitan ajal/ kematian/ tempoh, agar diri ini dan pembaca sekalian sentiasa ingat bahawa kematian itu tidak dapat dipercepatkan atau dilambatkan, tetapi yang penting adalah apa yang telah kita lakukan sebagai persediaan untuk menghadapinya.

(Yunus, 10:49) : Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak (pula) kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah." Tiap-tiap umat mempunyai ajal [masa keruntuhannya]. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya).

(Al’A’rof, 7:34) : Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

(An-Nahl, 16:61) : Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.

(As-Soba’,34:30) : Katakanlah: "Bagimu ada hari yang telah dijanjikan (hari kiamat) yang tiada dapat kamu minta mundur daripadanya barang sesaatpun dan tidak (pula) kamu dapat meminta supaya diajukan." 

Ahad, November 14, 2010

Menyendiri (Ikhtila’) di Gua Hira’


(Ikhtila'  ~  uzlah  ~  kholwah)
Rosulullah cenderung melakukan uzlah (pengasingan diri daripada orang banyak) ketika usia baginda mendekati 40 tahun. Allah menumbuhkan dalam dirinya rasa senang melakukan ikhtila’ (menyendiri) di Gua Hira’. Baginda menyendiri dan beribadah selama beberapa malam. Kadang kala sampai sepuluh malam dan ada juga sampai satu bulan. Baginda kembali ke rumah untuk mengambil bekal baru untuk melanjutkan ikhtila’nya. Baginda terus-terusan dalam keadaan demikian sehingga wahyu pertama diturunkan iaitu ketika baginda sedang beruzlah.

Beberapa Pengajaran
1)      Seorang Muslim tidak akan sempurna keislamannya betapapun ia memiliki akhlaq yang mulia dan melaksanakan segala macam ibadah selagimana ia belum menyempurnakan keislamannya dengan waktu-waktu uzlah dan kholwah (menyendiri) untuk menilai atau ‘mengadili’ dirinya sendiri ataupun muhasabatun nafsi. Ia merasakan pengawasan Allah dan merenungkan fenomena-fenomena alam semesta yang menjadi bukti keagungan Allah. Perkara ini merupakan kewajipan seorang Muslim yang ingin mencapai keislaman yang benar, apalagi sebagai penyeru kepada Allah (da’i) dan penunjuk kepada jalan yang benar.

2)      Penyakit-penyakit batin dalam jiwa manusia berupa sombong, ujub (bangga diri), dengki, riya’ dan cinta dunia tidak dapat diubati kecuali dengan melakukan ikhtila’ secara rutin untuk merenung hakikat dirinya, Penciptanya dan sejauh mana keperluannya kepada pertolongan dan taufiq Allah pada setiap detik kehidupannya. Selain itu, ia juga merenung hal ehwal manusia. Sejauhmana kelemahan mereka di hadapan Pencipta dan betapa tak bergunanya pujian dan celaan manusia. Selanjutnya merenungkan fenomena-fenomena keagungan Allah, Hari Akhir, pengadilan, besarnya rohmat dan pedihnya seksaan Allah. Dengan perenungan yang lama dan berulang-ulang tentang hal tersebut, penyakit-penyakit yang melekat pada jiwa manusia akan berguguran. Hati menjadi hidup dengan cahaya kesedaran dan kejernihan. Tiada lagi kotoran dunia yang melekat di dalam hatinya.

3)      Kaedah (sarana) untuk menimbulkan mahabatullah. Setelah iman kepada Allah, seseorang perlu memperbanyak tafakur tentang ciptaan dan nikmat-nikmat-Nya, merenungkan keagungan dan kebesaran-Nya, kemudian memperbanyak mengingat Allah dengan lisan dan hati. Semua ini hanya boleh diwujudkan dengan uzlah, kholwah dan menjauhi kesibukan-kesibukan dunia dan keramaiannya pada waktu-waktu tertentu secara terprogram.



Pemahaman yang keliru dan menyimpang daripada petunjuk Nabi SAW termasuklah tindakan meninggalkan sama sekali pergaulan dengan manusia dengan hidup dan tinggal di gua-gua. Kholwah ialah ubat untuk memperbaik keadaan. Ubat tidak perlu diambil kecuali dengan sekadar keperluan.



(Dipetik dan disunting daripada Sirah Nabawiyyah,      karangan Dr Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthy)

Sabtu, September 18, 2010

Raya Aidilfitri di Sarawak Kali Kedua

Sebelum apa-apa, ana nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang singgah di blog ana ni. Kalau di Semenanjung, pakai Baju Melayu semangat 2 hari je, tapi orang di Sarawak ni, semangat pakai apabila nak pergi beraya dalam bulan Syawal dan kalau boleh sesebuah keluarga tu mesti nak warna baju yang sama dalam keluarga mereka. Semangat untuk beraya di Sarawak biasanya akan berterusan untuk satu bulan, tak macam Semenanjung. Kalau di Sarawak ni, makanan yang biasa tu memang tak lari daripada air bergas dan kek lapis. Malam dekat nak raya hari tu, Rashid, Gun dan ana ke Kedai Dayang Salhah di Kg Gersik, penuh dengan orang nak beli kuih lapis je.

Cerita tentang air gas, ana masih ingat ketika penempatan klinikal di Hospital Umum Sarawak (HUS)/ Sarawak General Hospital (SGH) ketika Semester 1. Ada seorang mak cik (pesakit) cakap kepada ana, 'Ala, kat Semenanjung minum air oren, air sirap je.' Tak apalah mak cik, tu pendapat makcik, tapi pada ana, air sirap dan air oren ni lebih baik, tiada gas dan kandungan gula belum tentu sebanyak yang ada dalam air gas. Ada satu berita yang ana baca dulu, artis Dayang Nurfaizah, botol air gas di rumah dia, disusun sampai nak cecah (atau cecah) siling!. Pengilang air gas di Sarawak mesti maju. Ada pengilang di Sarawak ni yang buat air ni kurang gasnya, bagus pengilang macam ni.
Kek lapis keju (sedap sangat)
Kalau cerita kek lapis pula, ada satu keluarga yang ana tanya baru-baru ni, habiskan RM600 untuk kek lapis sahaja. Ada juga keluarga yang berjimat, RM40 sahaja untuk beli kek lapis, kek lain mereka buat sendiri.

Kali kedua beraya di perantauan menggerakkan jari-jemari ana untuk menghantar mesej ke telefon kenalan dan ahli keluarga.

Setelah beberapa kali diubah, beginilah pantun 8 kerat yang ana hantar kepada rakan dan keluarga.

Roslani (Abangah-utk keluarga) di perantauan seorang diri,
Air mata mengalir tak sempat menitis di pipi, (perlu ubah lagi baris ni)
Kini bersama sahabat di Kg Shirfani,
Menghilangkan rasa sedih di dasar hati,
Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Salah dan silap mohon ma'af dan dilupai,
Semoga Allah menerima amalanmu dan diri ini,
Moga bertemu lagi Romadhon di lain kali.

Akhirnya mesej ini dibalas oleh kebanyakan penerima dan berikut beberapa jawapan balas yang dapat ana kongsikan.
1) Ustaz H. M.: Assalamu'alaikum. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kita selalu tidak akan kesunyian kalau setiap masa dan ketika berdamping dengan yg Maha Pencipta. Allah jala jalaluh. Maaf zahir & batin.
2) Idz : Sabo yer. Zikrullah penawarnya.
3) Cikgu F : Kayakan diri dengan pengalaman berharga di tempat orang. Setahun sekali je. Raya di kampung mesti lebih seronok. Orang-orang Asajaya tu baik-baik semuanya. Mesti tak terasa sangat berada di tempat orang. Tu sebab antara sebab tuntut ilmu tu jihad, kerana banyak cabarannya. Teruskan usaha. Makin kita berdikari makin kita kuat. Hanya bangsa yang kuat yang akan berjaya. jadi, selamat meraikan Syawal yang indah di Asajaya.
4) Cikgu N : Terima kasih atas doa dan ingatan anakanda. Tabahkan hati anakanda. Setiap kejayaan perlu pengorbanan. Percayalah setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya. Selamat beraya di perantauan. Ma'af dipinta.

Ada juga mesej lucu dari kawan sekelas.
1) Z : Salam Roslani jangan menangis (nangis2 ye) kat sana, aku tahu kau mesti rindu kami (kitorang) kan, tak apa, nanti kami bawa kuih raya eh. He he he he he

Mengalunkan takbir di Masjid Darul Ehsan, Kg Serpan Laut, Asajaya, Samarahan, Sarawak mengingatkan ana bertakbir di surau Kg Pengkalan Nyireh di Besut, Terengganu. Pernah satu pagi ana mandi sunat hari raya kemudian tak tahu sebab apa ana terpatahkan satu paip air di rumah arwah datuk. He he.

Masjid Darul Ehsan ni di kawasan rumah dan juga kampung seorang akh. Nama penanya Rashid al-Shirfani. Al-Shirfani dibentuk daripada nama Kg Serpan Laut. Blognya http://ibnusarha.blogspot.com/ bersama seorang lagi akh. Disebabkan ana tinggal di rumah Rashid lebih kurang 5 hari bermula petang 30 Romadhon hingga petang 5 Syawal, ana diberi gelaran Roslani al-Shirfani oleh seorang akh yang lain di Facebook. He he. Rasa macam dah dapat sebuah keluarga angkat. Kehadiran Akh Rashid dan keluarganya mengisi kekosongan makhluq di hati ana. Ibu dan ayahnya sangat ana rindui walaupun mereka (atau ana?) yang sekali sekala tak faham apa yang dibualkan.

Hakikatnya, ana memang lebih suka Kalendar Hijrah berbanding Kalendar Gregory/ Masihi. Hari lahir ana yang sebenarnya jatuh pada 9 Jun, tapi didaftarkan pada 10 Jun. Apabila ana selidik perkara ni dengan ibu ana, memang ana dilahirkan pada pagi 1 Syawal 1406H (9 Jun). Jadi ana dah 25 tahun mengikut Kalendar Hijrah. Nak dibanding dengan umur Nabi SAW, ana tinggal lebih kurang 38 tahun lagi untuk ber'amal untuk akhirat dan dunia.

Ya Allah, hidupkanlah aku dengan iman,
Matikanlah aku (keluarkanlah aku dari dunia) dengan iman,
Bangkitkanlah aku dengan iman,
Jadikanlah iman 100% itu dihatiku, dilisanku dan pada perbuatanku,
Jadikanlah imanku menurut Al-Qur'an dan sunnah
Juga istiqomahkanlah aku di jalan da'wah.

Rabu, Ogos 18, 2010

Kolej Kediaman Lot 77 lawan Kolej Kediaman Sebayor


Kolej Lot 77 bersama pelangi 
Lot
1) Ada rumah Allah (surau) yg diimarahkan.
2) Ada internet yang jarang terganggu, tapi kalau dah ramai, perlahan juga.
3) Ada meja belajar
4) Ada mesin basuh 5 atau 7 kg.
5) Jarak ke perpustakaan & hospital yang dekat
6) Dekat dengan pejabat kolej utk banyak urusan
7) Pembaca blog boleh tambahkan. (yang tahu sahaja)




Sebayor
1) Ada surau yg tak berapa diimarahkan.
2) Ada internat yang biasanya terganggu, kena baiki (repair) berkali-kali baru dapat diguna. Pernah pukul 2
     pagi baru dapat. Tapi kalau dah dapat sambung, memang laju. Tak ramai orang dapat pakai talian internet
     Sebayor tanpa wayar (wireless) sebab diakatakan komputer riba (laptop) baru tak berapa kuat untuk
     dapatkan talian ni.
3) Tiada meja belajar.


4) Ada mesin basuh besar (11 kg)
5) Ada ASTRO (RM15+RM4 untuk bulan pertama, RM4 untuk bulan2 seterusnya) (Entah berapa kali betul2 tengok).
6) Ada pemanas air (baru guna tak lebih 5 kali)
7) Ada mesin air (panas, suhu bilik dan sejuk)
8) Pembaca blog boleh tambahkan. (yang tahu sahaja)

Walau apapun, keputusan kena dibuat. Kedua-dua kolej ada kelebihan dan kekurangan. Kedua-duanya amat ana sayangi. Apabila ditanya pihak pengurusan kolej berkali-kali, baru jawab dengan tegas nak pindah. Ada sebab perpindahan yang boleh diberitahu dan ada yang tidak. Nanti, kalau rindu Sebayor, boleh datang singgah apabila dah lebih pukul 12 malam (sebab tak dapat masuk lot).

Berkenaan tempat tinggal, Allah telah berfirman bahawa Dialah yang menjadikan rumah-rumah yang kita diami sebagai tempat tinggal. (Suroh An-Nahl, 16:80) : Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal dan Dia menjadikan bagi kamu rumah-rumah (kemah-kemah) dari kulit binatang ternak yang kamu merasa ringan (membawa)nya di waktu kamu berjalan dan waktu kamu bermukim dan (dijadikan-Nya pula) dari bulu domba, bulu unta dan bulu kambing, alat-alat rumah tangga dan perhiasan (yang kamu pakai) sampai waktu (tertentu).

Walau di mana ana tinggal, Allah tahu apa yang ana usahakan dan di mana ana tinggal.(Suroh Muhammad, 47:19) : Maka ketahuilah, bahwa sesungguhnya tidak ada Ilah (sesembahan, tuhan) selain Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat kamu tinggal.

Semoga cinta kpd Allah, Rosul-Nya dan berjihad di jalan-Nya lebih ana cintai daripada rumah. Semoga ana tak mencintai rumah sehingga tak sanggup meninggalkannya untuk tujuan da'wah. (Suroh at_Taubah, 9:24) : Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. 


Semoga tempat tinggal ana di akhirat lebih difikirkan kerana Allah telah berfirman tentang tempat tinggal ana di akhirat. Hanya ada dua pengakhiran.

1) Syurga. (Suroh Kahfi, 18 :107) : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal.

2) Neraka (Suroh Ali-'Imron, 3:197) : Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah Jahannam; dan Jahannam itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...